Sunday, September 19, 2021

Lelaki di Kuching ditipu RM70,000

Mesti baca

PADAWAN: Seorang lelaki mengalami kerugian sebanyak RM 70,000 akibat macau scam setelah menerima panggilan telefon dari pemanggil yang tidak dikenali yang menyamar sebagai kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, DSP Lim Jaw Shyong berkata mangsa, berusia awal 30-an dihubungi pemanggil sekitar 3.00 petang Ahad lalu memaklumkan bahawa syarikat mangsa di Kedah mempunyai tunggakan cukai yang belum dibayar berjumlah lebih RM17,000

Katanya, pada awalnya mangsa menafikan mempunyai syarikat di Kedah namun apabila perbualan telefon mangsa kemudian telah disambungkan ke satu nombor yang asing bermula angka 810 dan bercakap dengan seorang lelaki mendakwa dirinya daripada pihak polis.

Beliau berkata, mangsa dimaklumkan bahawa syarikatnya di Kedah ada terlibat dalam penggubahan wang haram dan diminta memberikan semua data peribadi, nama dan kata laluan banking dalam talian serta nombor akaun bagi tujuan siasatan.

“Kerana percaya dan terpedaya dengan dakwaan tersebut, mangsa telah memberikan butir-butir peribadi dan butir-butir perbankan kepada pemangil.

“Selepas itu mangsa telah menerima beberapa nombor TAC dan mangsa sekali lagi telah menuruti segala arahan pemanggil dan telah memberikan semua nombor TAC tersebut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Jaw Shyong berkata, mangsa kemudian membuat semakan akaun secara dalam talian dan menyedari wang sebanyak RM50,000 didalam akaun Hong Leong Bank miliknya telah dipindahkan ke akaun Ambank atas nama individu warganegara tempatan.

Selain itu tambahnya, wang sebanyak RM20,000 dari akaun Public Bank mangsa juga telah dipindahkan ke akaun Hong Leong Bank atas nama individu lain juga warganegara tempatan.

Katanya, menyedari telah ditipu, mangsa telah membuat laporan polis untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dan dengan curangnya mendorong supaya harta diserahkan.

Secara Rawak

Artikel Terbaru