Thursday, September 23, 2021

Bersatu sambut baik konsep Keluarga Malaysia

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyambut baik konsep “Keluarga Malaysia” yang  diperkenalkan  oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Bersatu menyifatkan pendekatan itu amat bertepatan bagi memelihara keharmonian antara rakyat Malaysia, yang berbilang agama, bangsa dan budaya.

Ismail Sabri mula memperkenalkan gagasan berkenaan melalui ucapan sulungnya yang disiarkan secara langsung melalui saluran televisyen nasional.

Beliau a yakin barisan Jemaah Menteri yang baharu dilantik mampu mentadbir negara selari dengan aspirasi rakyat yang mahukan proses pemulihan negara berjalan lancar dan inklusif.

Menghayati tema Hari Kebangsaan 2021 – Malaysia Prihatin, bekas Perdana Menteri berkata Bersatu berazam dan bertekad untuk memperkasa amalan politik khidmat bakti kepada rakyat di semua peringkat.

“Terutamanya membantu rakyat yang masih terkesan akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara,” kata Ahli Parlimen Pagoh itu.

“Oleh yang demikian Bersatu menyeru kepada semua pihak untuk mengetepikan segala perbezaan yang ada dan seterusnya memperbaharui iltizam nasional secara kolektif untuk terus fokus kepada agenda membangunkan negara dan membela rakyat,” katanya.

Ismail Sabri  memperkenalkan penggunaan gagasan Keluarga Malaysia bagi mengajak seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan fahaman politik bersama berganding bahu membawa keluar negara ini daripada pandemik Covid-19.

Perdana Menteri berkata, konsep Keluarga Malaysia diambil kerana baginya, keutuhan negara terikat dengan nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga.

“Saya menggunakan pendekatan Keluarga Malaysia kerana frasa ini sifatnya lebih inklusif. Ia merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum.

“Kita menyedari kewujudan sesebuah keluarga yang berkahwin dengan pelbagai bangsa dan agama, tetapi nilai kekeluargaan sudah mengikat mereka semua,” katanya ketika menyampaikan ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri pada 22 Ogos lalu.

Secara Rawak

Artikel Terbaru