Thursday, September 23, 2021

100 hari penuh ujian bagi kerajaan Ismail Sabri

Mesti baca

RAKYAT Malaysia menunggu pengumuman kabinet baharu pada Jumaat, 27 Ogos 2021 dengan penuh harapan. Adakah kabinet itu memenuhi harapan anda atau ia amat mengecewakan?

Bagi sebahagian rakyat, pengumuman berkenaan sesuatu yang antiklimaks. Mereka tidak teruja, tidak terinspirasi, malah tidak ghairah menyambutnya.

Tetapi bagi yang lain, kabinet ini wajar sedemikian di tengah-tengah kekangan dihadapi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri. Ya, kabinet berkenaan dibentuk sedemikian rupa bagi memastikan kestabilan politik serta kesinambungan tugas yang tertangguh sebelum ini.

Sebaik sahaja senarai kabinet diumumkan oleh Perdana Menteri, bukan sedikit yang melabelkannya bagai sekadar bersalin kulit atau umpama tuak lama di dalam botol baharu.

Malah, beberapa perubahan kecil dilakukan dengan memasukkan tiga lima menteri muka ‘baharu’ termasuk tiga orang lama Umno dan lima muka baharu timbalan menteri.

Betulkah perubahan itu sekadar bersifat kosmetik dan tidak substantif?

Benarkah kabinet ini kitaran semula dan menggunakan sebahagian besar anggota kabinet Perikatan Nasional (PN)?

Saiz kabinetnya sama dengan saiz kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin. Yang berlaku ialah menggugurkan beberapa orang dan memasukkan muka baharu, serta menyusun atau mengubah yang lama ke jawatan lain. Tidak ada penggabungan kementerian, malah formatnya sama dengan mengekalkan empat menteri kanan dan tanpa Timbalan Perdana Menteri.

Perubahan besar yang diharapkan rakyat tidak menjadi kenyataan, termasuk dari segi jumlah muka baharu yang lebih banyak bagi menyuntik dinamisme dan kesegaran.

Hakikatnya, kabinet ini bagi sebahagian orang ialah kabinet lama bersifat status quo. Lebih sebagai satu kesinambungan daripada kabinet Perikatan Nasional di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin. Maksudnya, kabinet Muhyiddin tanpa Muhyiddin demi survival politik Ismail Sabri.

Mengapakah kabinet ini menjadi sedemikian? Apakah falsafah dan agenda utamanya?

Adakah lebih untuk memastikan survival Ismail Sabri sendiri untuk berdepan undi percaya nanti, dan seterusnya Pilihan Raya Umum ke-15?

Atau memang kabinet yang mengutamakan hasil berlandaskan prinsip peka terhadap keperluan semasa, bertanggungjawab dan amanah, serta berusaha mengembalikan keyakinan rakyat seperti didakwa? Persoalan utama kini ialah, adakah rakyat yakin dengan barisan muka lama yang ditampilkan? Atau rakyat lebih banyak bersifat sinis dan skeptis?

Beliau bukan saja tidak mahu mengocakkan keadaan dalam Umno, tetapi juga dengan parti-parti lain yang memberi 114 undi, terutamanya Bersatu sehingga beliau menjadi Perdana Menteri kesembilan.

Hakikatnya, tangan Ismail Sabri terikat, kerana beliau bukan Presiden Umno — pertama kali Naib Presiden tidak menjadi Perdana Menteri. Jadi, beliau tidak dapat mengambil tindakan sewenang-wenangnya, melainkan perlu akur kepada tuntutan parti lain yang mendukung beliau. Juga Presiden parti dan bossku.

Kita sedar bahawa tidak mudah untuk beliau membariskan anggota kabinet itu, sehingga senarai berkenaan difahamkan diubah beberapa kali. Yang penting bagi Ismail Sabri, dalam pembentukan kabinet itu, ialah kestabilan dalam Umno dan keharmonian hubungan dengan parti komponen.

Justeru, strategi serampang dua mata digunakan. Ya, dengan menghulurkan tangan persahabatan kepada Pakatan Harapan dan dengan tidak akur kepada permintaan dan tuntutan parti yang mendukung bagi memastikan kestabilan dalam kabinet baharu itu.

Membentuk kabinet bukannya mudah, kerana Perdana Menteri tidak dapat lari daripada mengambil kira pelbagai faktor asas termasuk gender, kaum, agama dan wilayah.

Persoalannya, mengapakah saiz kabinet ini dikekalkan dan sebahagian besar anggota kabinet lama dikekalkan? Ya, termasuk beberapa orang yang jelas tidak memperlihatkan prestasi yang membanggakan, malah mencetuskan kontroversi sebelum ini.

Menggugurkan sebahagian besar anggota kabinet lama hanya akan mengundang masalah ketika majoriti kerajaan adalah tipis. Jadi, jalan selamat perlu diambil daripada berdepan risiko.

Mengapakah menteri yang mempunyai rekod buruk tidak digugurkan? Mengapakah orang lama dalam Umno dibawa balik, dan bukannya wajah lebih segar dalam parti itu?

Mengapakah pelantikan lebih banyak teknokrat dan pakar dari luar tidak dilakukan?

Mengapakah otak terbaik dalam kalangan ahli politik muda tidak dimasukkan?

Cabaran utama kabinet ini ialah bagaimana untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap keupayaannya untuk berfungsi dengan efisien? Malah, adakah ia mampu meyakinkan negara dan pelabur asing? Mampukah kabinet ini memperagakan prestasi yang cemerlang dalam tempoh seratus hari?

Perdana Menteri sedar akan beban dan tanggungjawab yang diletakkan di atas bahu beliau dan kabinetnya. Masa tidak memihak kepada kabinet ini. Tiada masa untuk berbulan madu.

Kabinet ini perlu dilihat berfungsi dan komited menjalankan tugas dan amanah. Kabinet ini perlu membuktikan keberkesannya dalam tempoh kurang daripada seratus hari.

Tetapi ada yang bertanya, bagaimanakah kabinet yang telah memerintah 17 bulan sebelum ini dapat melakukannya dalam seratus hari? Persoalannya, mampukah kabinet ini melakukan keajaiban? Inilah ujian dan cabarannya. Bahawa ia dapat memenuhi harapan dan tuntutan rakyat. Dan bukannya menghampakan dan menjadi beban atau lebih buruk lagi dipersenda rakyat.

Ujian dan cabaran utama adalah mengurangkan jangkitan Covid-19 yang kini berlegar sekitar 20,000 ke angka yang munasabah. Juga, memulihkan keadaan ekonomi negara, termasuk mewujudkan peluang pekerjaan dan menarik pelaburan langsung asing.

Untuk itu, menterinya tidak lagi boleh mengharapkan untuk mendapatkan hasil atau kesan positif jika cara lama yang terbukti gagal dilaksanakan. Mereka dituntut untuk melakukan tindakan di luar kotak dengan penuh komitmen dan keberanian.

Negara yang sakit ini perlu dirawat dengan sentuhan keajaiban oleh kabinet baharu supaya ia tidak terus sakit dan rakyat tidak terus menderita. Harapan rakyat terhadap Ismail Sabri dan kabinet ini adalah tinggi. Mereka tidak boleh gagal dan menggagalkan impian rakyat. Jadi, kita semua perlu memberi peluang kepada kabinet ini menjalankan tugasnya dan membuktikan keupayaannya.

Untuk itu, mereka perlu lebih imaginatif, kreatif dan proaktif dari segi strategi, idea, keputusan dan tindakan. Kita mahu merdeka daripada ancaman Covid-19 dan belenggu kemusnahan ekonomi sempena menyambut bulan kemerdekaan pada Ogos dan September ini.

Dr Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara

Secara Rawak

Artikel Terbaru