Thursday, September 23, 2021

Saya berjanji bekerja tanpa lelah untuk negara – Ali Biju

Mesti baca

KUCHING: Keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengekalkan kesinambungan lama ke dalam kabinet baharu menjadi petanda baik bagi negara, kata Ahli Parlimen Saratok Datuk Ali Biju.

Ali yang dilantik semula sebagai Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli berjanji akan memberikan perkhidmatan terbaik melaksanakan tanggungjawab.

“Masih banyak kerja yang perlu diselesaikan dan saya lebih daripada bersedia untuk berkhidmat kerana kementerian ini mempunyai portfolio yang sangat luas.

“Terutama mengawasi dan memastikan pembangunan sumber alam negara berterusan serta bertanggungjawab dalam pengurusan tenaga yang optimum,” katanya pada Jumaat.

Beliau yang juga ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut menzahirkan penghargaan kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk terus berkhidmat kepada negara dan dalam kementerian yang sama.

“Saya berjanji sekali lagi – bekerja tanpa lelah untuk negara di bawah kepimpinan menteri baharu Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta bersama-sama penjawat awam yang sangat rajin, komited dan pakar,” ujarnya.

Sementara Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin yang menjawat semula portfolio Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi turut menzahirkan kesyukuran atas pelantikannya dalam kabinet baharu itu.

“Saya dengan rendah hati menerima pelantikan semula dan berazam akan terus mencurahkan bakti dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Terima kasih kepada warga Parlimen Puncak Borneo, saya akan terus berusaha untuk anda semua, rakyat Sarawak dan keluarga Malaysia,” katanya yang juga ahli Bersatu.

Sebelum ini, kedua-duanya merupakan ahli parlimen blok bebas namun menyertai Bersatu pada Ogos tahun lalu. Kedua-duanya pernah dilantik sebagai timbalan menteri dalam kabinet pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Secara Rawak

Artikel Terbaru