Sunday, September 19, 2021

6.3 kilogram syabu bawa mekanik ke tali gantung

Mesti baca

KUCHING: Seorang mekanik berdepan tali gantung apabila didakwa di Mahkamah Majistret semalam, atas kesalahan memiliki dadah jenis Methamphetamin seberat 6.3 kilogram, pada 15 Ogos lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berusia 25 tahun itu yang mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Menurut kertas pertuduhan, dia telah membawa dadah seberat 6.3 kilogram ke dalam sebuah kereta yang terletak di Jalan Hup Kee.

Kesalahan tersebut dilakukan sekitar jam 1.30 petang pada 15 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabit bersalah.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh diwakili dua peguam Osman Ibrahim dan Roger Chin.

Mahkamah memutuskan sebutan semula kes pada 27 September depan.

Secara Rawak

Artikel Terbaru