Thursday, September 23, 2021

Sarawak Gazette lombong emas dibuka 151 tahun lalu

Mesti baca

JENIRI AMIR

PADA hari ini 151 tahun lalu, Sarawak Gazette (SG) mulai menemui pembaca ketika Sarawak di bawah pemerintahan Charles Brooke. Ia merupakan terbitan berkala pertama diterbitkan di negeri ini. Malah, ada pihak yang menganggapnya sebagai akhbar pertama di negeri ini.

Hakikatnya, risalah berkenaan merupakan platform rasmi pemerintahan Brooke yang dikendalikan oleh Muzium Sarawak.

Berdasarkan rekod, kandungannya kebanyakannya disumbang oleh Residen dan Pegawai Daerah, termasuk sastera rakyat.

Dalam keluaran pertama dicatatkan: “The first number of the Sarawak Gazette is today published with a hope that it may both supply a want in the country, and be of service to those in the prosperity of Sarawak and its dependencies.”

Pertama, ia menjadi wadah untuk pegawai Brooke di luar kawasan berkaitan hal ehwal rasmi dan hal-hal lain tentang Sarawak. Bahannya adalah daripada telegram dan akhbar dari Eropah.

Risalah itu biasanya diterbitkan sebaik sahaja kapal yang membawa surat berkenaan dari Singapura sampai di Sarawak.

Kedua, wadah berkenaan turut menyiarkan pelbagai laporan tentang keadaan kawasan di bawah pemerintahannya khususnya berkaitan masyarakat peribumi dan perniagaan.

Terbitan itu begitu penting ketika itu, malah sekarang sehinggalah Sarawak Museum Journal diterbitkan pada 1911, 41 tahun kemudian.

Sebagai bahan terbitan berkala pertama, sudah pasti kedudukannya bukan sahaja penting dari segi sejarah, tetapi juga dari segi kandungannya.

Tidak hairanlah ia menjadi sumber rujukan penting dalam kalangan sejarawan, sarjana, pensyarah dan penulis biografi hingga kini.

Malah, banyak pihak menganggap SG sebagai lombong emas bagi pengkaji yang sentiasa ghairah dalam bidang sejarah dan penyelidikan tentang mitos, laporan sesuatu daerah, terutama berkaitan dengan zaman Brooke.

Anda hanya perlukan kesabaran, ketekunan dan mata tajam seorang peneliti untuk meneliti satu per satu perkara yang disiarkan dalam SG.

Namun, jika anda kesuntukan masa, anda dapat merujuk A Guide to Sarawak Gazette 1870-1965 oleh Conrad P.Cotter terbitan Michigan University pada 1967.

Sebagai pengkaji sejarah dan penulis biografi, saya sering merujuk dan meneliti SG tanpa rasa jemu.

Sejarawan tempatan Datuk Dr Sanib Said mengakui: “Sarawak Gazette merupakan bahan bacaan yang menghiburkan, juga mengingat kembali tempat-tempat yang kita kenali. Saya dapat mencari pelbagai perkara tentang pelbagai tajuk; daripada mitos kepada sejarah. Jika anda melakukan penyelidikan tentang sesuatu daerah, maka laporan bulanan yang ditulis oleh pegawai daerah ketika itu adalah amat berguna dan menarik. Sebelum dekad 1960-an, laporan tahunan adalah begitu terperinci. Secara peribadi, saya seronok membaca laporan berkenaan.”

Ketika menjalankan kajian untuk penulisan biografi dua tokoh politik Sarawak, Tun Abang Haji Openg dan Datu Abang Haji Mustapha, SG merupakan antara rujukan utama saya, selain daripada dokumen di akrib dan perpustakaan di London, Singapura, Kuala Lumpur dan Kuching.

Setiap kali saya membelek dan meneliti kandungannya, saya bagai kembali ke zaman silam, umpama melalui lorong-lorong sejarah penuh misteri, dengan rasa teruja. Di balik pemikiran saya, timbul pelbagai persoalan dan teka-teki berteraskan soalan penting asas wartawan.

SG sentiasa memberi pencerahan tentang peristiwa dan dasar Brooke ketika itu. Sumber penting itu memberi kita fakta tertentu, apatah lagi dalam sejarah, sumber dan fakta menjadi tonggak utama penulisan sejarah dan masa silam.

Terpulanglah kepada sejarawan dan penyelidik untuk membuat tafsiran, sesuai dengan anjuran sejarawan kelahiran London yang terkemuka E.E. Carr (1892-1982) dalam buku What is History?

Kita boleh mengatakan bahawa di Kuching pada waktu itu sudah ada mesin cetak kerana menurut catatan, SG diterbitkan oleh Pejabat Pencetak
Kerajaan. Malah, kemungkinan besar pencetak berkenaan merupakan pencetak pertama yang terdapat di negeri ini.

SG, warta kerajaan diterbitkan pada hari Jumaat, 26 Ogos 1870 merupakan projek kegemaran Charles Brooke.

Editor, pengurus dan penulis utamanya yang pertama ialah Reverend John Kemp.
Sebanyak lapan keluaran diterbitkan pada 1870 dan risalah itu dijual pada harga lima sen senaskhah.

Sesungguhnya, penerbitan SG ialah langkah awal ke arah perkembangan dan kemajuan bidang percetakan dan penerbitan di negeri ini ketika itu.

SG dimulakan hanya sebagai risalah tiga halaman memaparkan ringkasan telegram oleh agensi berita Reuters tentang Perang Perancis-Rusia.
Biasanya, SG diterbitkan sebaik sahaja kapal membawa surat dari Singapura sampai. Ia bertujuan untuk promulgate Rajah dan pegawai di luar daerah.

Tidak syak lagi, SG merupakan terbitan dan dokumen penting untuk sesiapa yang mahu memahami hal ehwal Sarawak dari 1870 hingga 1941 baik tentang sejarah, politik, perdagangan pesisir, harga komoditi, pertanian, hal ehwal di daerah, antropologi atau arkeologi.

Seperkara yang menarik, SG didapati turut menerbitkan obituari dan majlis perkahwinan pegawai Melayu terkemuka di Sarawak.

Ketika membelek SG beberapa tahun lalu misalnya saya begitu teruja apabila menemui angka mengenai populasi di beberapa residensi di Sarawak. SG terbitan 15 Disember 1871 mencatatkan bahawa pupulasi Mukah yang dieja Muka ketika itu adalah 9,514 yang terdiri daripada Melanau yang dikategorikan sebagai Melayu sebanyak 8,761, Dayak 611, Cina 119, dan India 23 orang.

Bagi residensi Bintulu pula sebanyak 4,339 yang terdiri daripada Melayu (Melanau?) 4,118, Dayak 130, Cina 77 dan India lima orang.

Residensi Batang Lupar pula mempunyai 9,530 penduduk, kebanyakannya Dayak sebanyak 6,741.

Daripada angka tersebut, setidak-tidaknya dapat memberi bayangan kepada kita keadaan kawasan itu dan penduduknya sekitar 150 tahun lalu.

Hakikatnya, kewujudan mesin cetak di Sarawak ketika itu, seperti juga di tempat lain telah mengembangkan dan menumbuhkan kebudayaan tinggi adalah besar peranannya. Ia mengubah sastera daripada yang bersifat lisan kepada yang bersifat bertulis.

Marshall McLuhan mengakui bahawa kelahiran teknologi percetakan merupakan inovasi budaya penting dan menyifatkannya sebagai “Guttenberg Galaxy” yang membawa bersama-samanya individualisme, nasionalisme, idea moden, dan seumpamanya.

Banyak sarjana telah mngupas peranan teknologi percetakan dalam perkembangan kesusasteraan Melayu, tetapi di Sarawak hubungan teknologi percetakan dengan perkembangan sastera dan persuratan belum lagi diperkatakan dengan serius dan meluas.

Yang jelas, kelahiran mesin cetak telah membawa kepada peralihan dunia sastera daripada sastera tradisi kepada moden, daripada novel kepada hikayat, dan daripada sastera lisan kepada sastera bertulis atau bercetak.

Menuju ke akhir abad ke-19, karya bercetak dalam sastera dan persuratan Melayu termasuk di Sarawak mulai memperlihatkan bibit-bibit awalnya, namun malangnya, bahan penerbitan berkenaan sudah hilang ditelan zaman. Tidak syak lagi, zaman pemerintahan Charles Brooke di Sarawak merupakan era permulaan pengembangan persuratan dan sastera bercetak di negeri ini meskipun tidak dinafikan bahawa peradaban dan budaya barat telah mulai dikembangkan dan disebarkan di negeri ini sejak pemerintahan James Brooke lagi.

Yang menarik novel Melayu pertama, Hikayat Panglima Nikosa karya Ahmad Shawal Abdul Hamid diterbitkan sekitar enam tahun selepas SG diterbitkan. Selain daripada kehadiran mesin cetak yang dimiliki kerajaan, berdasarkan cetakan pada HPN, dipercayai terdapat mesin cetak yang dimiliki oleh individu atau pihak swasta.

Di halaman HPN dicap kata-kata seperti berikut: “Tercap di atas batu di dalam negeri Sarawak di Kuching di atas Bukit

Persinggahan kepada 8 hari bulan Jamadilakhir 1293 sanat kepada 30 hari bulan Jun tahun 1876. Adapun yang empunya pekerjaan ini dan mengecapnya Encik Ahmad Shawal bin Abdul Hamid.”

Persoalannya, adakah kenyataan ini bermaksud, mesin cetak berkenaan dimiliki oleh Ahmad Shawal atau beliau ialah penulis buku berkenaan?

Kini, anda tidak perlu berkunjung ke Muzium Sarawak untuk membaca SG kerana SG sudah dimuat naik dalam bentuk e-Sarawak Gazette. Namun, keluaran terbabit hanya bermula dari tahun 1907. Tentu akan memberi kegembiraan dan banyak faedah kepada pengkaji jika keluaran lain bermula dari keluaran pertama turut dimuat naik.

Sesungguhnya, SG yang diterbitkan lebih 150 tahun lalu ialah lombong emas bagi peneliti, pengkji dan penulis yang mahu tahu akan peristiwa dan keadaan di negeri ini ratusan tahun lalu.

Dr Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara

Secara Rawak

Artikel Terbaru