Sunday, September 19, 2021

Bot nelayan Vietnam, 16 kru bertindak agresif

Mesti baca

KUCHING: Sebuah bot nelayan Vietnam bertindak agresif dengan menghimpit bahagian sisi kanan Kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (KM BIJAK) selepas dikesan menceroboh perairan negara, Isnin lalu.

Insiden kira-kira jam 7.14 pagi itu menyebabkan KM Bijak mengambil masa lebih 30 minit sebelum berjaya menahan bot terbabit daripada terus melarikan diri.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Sarawak Laksamana Pertama Zin Azman Md Yunus berkata, bot nelayan Vietnam itu dikesan ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan pada jarak lebih kurang 250 batu nautika timur laut Tanjung Po.

Menurutnya, hasil pemantauan awal mendapati bot tersebut merupakan bot nelayan Vietnam berdasarkan struktur fizikalnya namun menimbulkan kecurigaan selepas ia dikesan menggunakan nombor pendaftaran tempatan.

“Ketika KM cuba merapati bagi tujuan pemeriksaan, bot tersebut bertindak melarikan diri dengan mengemudi bot secara agresif mengakibatkan sisi kanan kapal KM BIJAK dilanggar.

“Namun KM BIJAK terus mengejar bot tersebut dengan mengambil masa hampir 30 minit untuk dipintas dan berjaya menahan setelah dihimpit rapat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat seramai 16 kru kapal termasuk tekong terdiri daripada warga Vietnam masing-masing berusia lingkungan 19 hingga 53 tahun gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Selain itu katanya, bot terbabit turut tidak memiliki sebarang dokumen serta lesen daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara.

Jelasnya, setelah ditahan kesemua kru serta bot telah dibawa ke Pusat Tahanan Vesel KOMTAS Kuching untuk siasatan lanjut.

Dedahnya, pemeriksaan lanjut turut merampas barangan kes berupa peralatan menangkap ikan serta bekalan diesel lebih kurang 10,000 liter, sekali gus menjadikan rampasan kes termasuk bot dianggarkan bernilai RM1 juta.

Zin Azman berkata, hasil maklumat serta aduan komuniti nelayan tempatan mengenai aktviti penyamaran bot nelayan asing Vietnam di perairan negara sebelum ini turut membantu pasukan operasi mengesan bot berkenaan.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menjalankan aktiviti perikanan di perairan Malaysia tanpa kebenaran yang sah serta Akta Imigresen 1959/63 kerana telah gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri.

Jika disabitkan kesalahan, tekong boleh didenda sehingga RM6 juta, manakala anak kapal boleh didenda sehingga RM600 ribu setiap seorang dan vesel boleh dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Secara Rawak

Artikel Terbaru