Thursday, September 23, 2021

Krisis politik: 4 tahun 4 PM

Mesti baca

SELEPAS mengharungi kemelut  dan gelora politik untuk sekian lama sehingga tumbangnya Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Ogos lalu, akhirnya kita menerima kehadiran Perdana Menteri kesembilan pada Jumaat, 20 Ogos 2021.

Kita berada dalam era politik baharu dan kelaziman baharu.

Betapa tidak, rakyat mengundi sekali, tetapi sudah mendapat tiga kerajaan  berlainan dan empat Perdana Menteri berlainan dalam tempoh  empat tahun.

Ya, daripada Datuk Seri Najib Razak, kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin, dan kini Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bandingkan itu dengan ketika kita  hanya mempunyai lima Perdana Menteri dalam tempoh 55 tahun dari 1963 hingga 2018.  Adakah politik kita hendak meniru senario politik di Jepun apabila lima Perdana Menteri bertukar hanya dalam  tempoh setahun?

Pertukaran Perdana Menteri yang kerap dalam tempoh kurang lima tahun membuktikan ada sesuatu yang tidak kena dengan politik negara. Krisis politik berlaku bukan sahaja kerana majoriti tipis yang diraih Pakatan Harapan dalam PRU-14, atau kerana berlakunya fenomena lompat-melompat parti. Pergolakan itu  turut berlaku disebabkan ketaasuban dan kemabukan pemimpin politik berebut kuasa.

Falsafah politik diplomat, ahli falsafah dan sejarawan Itali, Niccolo Machiavelli (1469-1527) yang menulis buku The Prince menjadi pegangan golongan ini. Ya, tujuan menghalalkan cara sehingga segala strategi licik dan pertaruhan dilakukan untuk mendapatkan kuasa.

Dengan kemenangan Naib Presiden Umno itu yang meriah 114 undi berbanding Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendapat 105 undi, kita harap semua pihak menghormati keputusan wakil rakyat terbabit dan juga Yang di-Pertuan Agong.  Pelantikan ini selari dengan tuntutan Perlembagaan Persekutuan, demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

Kita perlu melangkah ke hadapan dan tidak terus asyik bermain politik. Keabsahan kedudukan beliau perlu dilakukan di Dewan Rakyat seperti yang dituntut. Jangan pula ada yang cuba menangguk di air keruh dengan terus mencetuskan krisis politik.

Kita sudah terlalu lama bermain politik dan rakyat sudah muak, bosan dan lesu dengan gelora dan badai politik sejak sebelum PRU-14 lagi. Ini ialah masa untuk menumpukan perhatian kepada usaha merekonsiliasi politik atas prinsip permuafataan  dan konsensus politik tulen.

Bukankah ini selari dengan titah dan nasihat Agong agar kita mengamalkan politik baharu? Kalau hendak berpolitik dan bermain politik, tunggulah  hingga PRU-15 nanti.  Bukankah pilihan raya tersebut tidak sampai 20 bulan lagi?

Untuk ketika ini dan bulan-bulan akan datang, buatlah persiapan padu dengan semangat kental. Tidak usahlah kecewa dan menzahirkan kekecewaan  dengan membalas dendam dan terus mengharu-birukan arena politik negara.

Tindakan demikian hanya akan meresahkan rakyat yang sudah terpukul teruk oleh ancaman Covid-19 dan Perintah Kawalan  Pergerakan (PKP). Mereka sudah hilang pekerjaan dan pendapatan, malah anggota keluarga. Mereka sudah cukup derita dan sengsara.

Bukan hanya golongan B40 terkesan, tetapi juga golongan T20. Semakin banyak yang berada dalam kelompok bawah sekarang sehingga kini menjadi B60, dan tidak lagi B40.  Jadi, pemimpin politik perlu fokus kepada agenda dan matlamat lebih besar.

Kita perlu bersatu dan mendukung kepemimpinan yang telah diperkenankan oleh Agong sesuai dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan.

Anwar Ibrahim dapat mencuba lagi, dan bangkit daripada kekalahan untuk kesekian kali. Siapa tahu, masih ada sinar  di hujung terowong untuk beliau menjadi Perdana Menteri yang diidam-idamkannya sejak 1999 lagi, melalui PRU-15 nanti.

Perdana Menteri kesembilan ini mempunyai beberapa keistimewaan dan keunikan. Hanya dalam tempoh 45 hari beliau naik pangkat.  Sedangkan Anwar menunggu selama 10,125 hari sejak  menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 1 Disember 1993 sebelum dipecat Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1999.

Ismail Sabri  memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri  dalam tempoh paling singkat, dari  7 Julai 2021 hingga 16 Ogos 2021, iaitu selama 39 hari sahaja.

Ismail  Sabri merupakan ketua pembangkang pertama jadi Perdana Menteri selepas BN tewas pada 2018.  Beliau dipilih sebagai ketua pembangkang pada 2018 hingga Februari 2020.

Difahamkan beliau yang mempunyai empat orang anak ialah anak peneroka Felda pertama jadi Perdana Menteri, malah Naib Presiden pertama Umno dilantik ke jawatan itu, kerana lazimnya Presiden menduduki kerusi berkenaan. Kes mahkamah yang membelenggu Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyebabkan beliau terlepas peluang.

Apakah cabaran dan ujian yang bakal dihadapi Ismail Sabri? Ujian, cabaran dan rintangannya bukan sedikit dan bukan kecil. Beliau perlu menggalas amanah dan tanggungjawab itu dalam keadaan negara dan dunia berdepan cabaran besar khususnya dari segi kesihatan dan ekonomi.

Yang pasti, beliau perlu menenangkan semua pihak, baik dalam Umno, dalam PN, apatah lagi PH dan juga rakyat pada keseluruhannya. Maksudnya, penyatuan dan rekonsiliasi harus menjadi keutamaannya ketika parti politik dan rakyat kelihatan berpecah susulan pergolakan politik dan kelemahan kerajaan sebelum ini menangani ancaman Covid-19.

Harus dilakukan gencatan politik untuk seketika sehingga PRU-15, kecualilah pemimpin politik kita memang sudah tidak tahu malu, dan hilang integriti dan maruah kerana  sengaja memekakkan telinga dan membutakan mata dengan rayuan dan rintihan rakyat.

Kita mahu menyaksikan keadaan politik yang lebih ‘aman dan nyaman’, tenang dan tenteram serta lebih harmoni agar fokus kerajaan dan Perdana Menteri baharu dapat dihalakan kepada inisiatif menangani masalah utama negara.

Selepas mengangkat sumpah, malah sebaik sahaja tahu berpeluang menjadi Perdana Menteri kesembilan, tentu sudah terbayang dalam pemikiran beliau calon menteri yang akan dilantik.

Kabinet ini jangan sampai menjadi terlalu boyot dan gendut. Sebaik-baiknya, Perdana Menteri tidak diikat tangan dan kakinya untuk menentukan siapa yang harus berada dalam kabinetnya. Menjadi prerogatif beliau untuk melantik sesiapa  sahaja yang beliau fikir layak berdasarkan pengamatannya, baik dari segi kelayakan, ilmu, kemahiran, pengalaman, kepakaran, bakat kepemimpinan, potensi, integriti dan wibawa.

Memang tidak mudah membentuk kabinet jika terdapat tekanan, syarat dan tuntutan pelbagai pihak, baik dari dalam parti sendiri mahupun parti komponen. Itu belum lagi mengambil kira faktor usia, etnik, wilayah dan gender.

Bagaimanakah beliau menyeimbangkan antara  tuntutan politik etnonasionalisme, politik nasionalisme kenegerian dan regionalisme dengan politik nasionalisme  kebangsaan dan kepentingan nasional di bawah politik federalisme dan politik baharu?

Sesungguhnya, bukan mudah memenuhi  semua itu dan segala tuntutan, impian dan desakan pelbagai pihak. Justeru, beliau perlu berani membuat keputusan terbaik demi kepentingan negara.

Sebab, kabinet ini perlu dilihat sebagai kabinet yang pintar, cerdas, cergas, efisien dan bukannya disifatkan sebagai ‘arak lama di dalam botol baharu.’

Beliau perlu bersifat inklusif, adil dan prihatin terhadap nasib semua kaum, agama, dan negeri. Anda ialah Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia bukannya Perdana Menteri untuk ahli Umno atau Melayu semata-mata. Tidak harus ada diskriminasi terhadap pihak musuh dan pembangkang kerana ini hanya akan mengundang masalah besar kepada beliau. Beliau harus menghulurkan tangan solidariti kepada pembangkang sebagai satu langkah awal politik baharu yang konkrit. Beliau tidak harus menggunakan instrumen hegemoni kerajaan untuk menekan musuh politik.

Kabinet ini ialah kabinet perang, perang melawan pandemik Covid-19 dan perang melawan segala tekanan dalaman dan luaran.

Beliau tidak boleh gagal atau dilihat gagal. Jadi, Ismail Sabri perlu belajar daripada kesilapan kerajaan BN, PH, malah PN diterajui Muhyiddin sebelum ini.

Untuk itu, beliau perlu bersikap terbuka dan berjiwa besar, dengan mengambil kira cadangan, pemikiran dan idea daripada sesiapa pun, termasuk pembangkang.

Yang penting  idea berkenaan  baik untuk rakyat, negara dan masa depan kita semua. Ini tentunya termasuk melaksanakan tujuh tawaran yang dikemukakan oleh Muhyiddin tempoh hari.

Komitmen politik tentu diperlukan untuk melakukan reformasi institusi dan perlembagaan demi kehadiran politik matang dan kebaikan negara berteraskan prinsip dan semangat Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berparlimen.

Selamat bertugas Perdana Menteri. Kita doakan yang terbaik untuk Ismail Sabri.

Dr Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara

Secara Rawak

Artikel Terbaru