Sunday, September 19, 2021

Pesara di Kuching rugi RM39,000 mangsa Macau Scam

Mesti baca

KUCHING: Seorang pesara mengalami kerugian sebanyak RM39,000 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, DSP Lim Jaw Shyong berkata lelaki tersebut terdahulu menerima panggilan pada jam 9.15 pagi pada Rabu di rumahnya di Jalan Penrissen, Siburan.

Menurutnya, mangsa dihubungi suspek yang memperkenalkan dirinya sebagai Lee dari Bahagian Polis Mahkamah mengatakan anak mangsa telah ditangkap polis kerana terlibat dalam jenayah dadah.

“Bagi melepaskan anaknya dan menyelesaikan kes tersebut, mangsa telah diarahkan membuat bayaran wang tunai sejumlah RM30,000 ke satu akaun Maybank atas nama sebuah syarikat.

“Kemudian mangsa diminta untuk membayar sebanyak RM9,000 di bayar ke akaun yang sama. Mangsa turut diarahkan untuk memusnahkan resit bukti bayaran sementara menunggu anak mangsa dibebaskan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Jaw Shyong berkata, setelah membuat pembayaran tersebut, mangsa terlintas untuk menghubungi anaknya untuk bertanya keadaan anaknya dan menyedari dirinya telah ditipu dan hadir ke balai polis untuk membuat laporan.

Sementara katanya, seorang suri rumah turut membuat laporan polis setelah mengalami kerugian sebanyak RM66,000.

Menurutnya, wanita tersebut ketika berada di rumah di Daerah Padawan menerima panggilan telefon dari suspek yang mengaku sebagai Pegawai Pengurusan Ibu Pejabat Telefon Kuala Lumpur.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya diarahkan untuk menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur kerana mangsa dikatakan terlibat dalam kes judi haram dalam talian.

“Menurut mangsa, suspek memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Seremban dan dalam panggilan telefon tersebut mangsa telah ditemu ramah lalu hasil temu ramah tersebut suspek berjaya mendapatkan 16 digit nombor yang terdapat pada kad ATM mangsa, selain itu maklumat jumlah wang dalam akaun simpanan dan serta wang dalam akaun ASB mangsa.

“Suspek kemudian mengarahkan mangsa untuk membuat pindahan semua wang mangsa ke satu nombor akaun CIMB sebanyak RM66,000 keseluruhannya,” katanya.

Tambahnya, mangsa menyedari telah ditipu apabila menerima panggilan telefon tersebut daripada anaknya dan anaknya menasihatkan mangsa untuk membuat laporan polis.

Kata Jaw Shyong, kes disiasat di bawah Seksyen 402 Kanun Keseksaan iaitu menipu dan dengan curangnya mendorong supaya harta diserahkan.

Secara Rawak

Artikel Terbaru