Sunday, September 19, 2021

Kantoi sorok dadah dalam nasi bungkus di PKPD Kampung Baru

Mesti baca

KOTA SAMARAHAN: Taktik seorang penghantar makanan membekalkan dadah menggunakan bungkusan nasi kepada seorang penganggur yang berada di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Baru, di sini terbongkar apabila dikesan oleh polis.

Malah, kedua-dua lelaki berkenaan turut ditangkap, setelah modus operandi mereka dikesan oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Samarahan bersama-sama petugas Sekatan Jalan Raya (SJR) PKPD Kampung Baru.

Ketua Polis Daerah Samarahan, Deputi Superintendan Sudirman Kram berkata pada kira-kira jam 11.30 pagi tadi, sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Samarahan bersama-sama petugas SJR PKPD Kampung Baru telah membuat pemeriksaan ke atas bungkusan makanan yang mencurigakan.

Katanya bungkusan makanan itu cuba dihantar oleh penghantar makanan berusia 30 tahun terbabit untuk diserahkan kepada seseorang yang berada di dalam kawasan PKPD di Kampung Baru.

“Hasil pemeriksaan mendapati di dalam bungkusan nasi berkenaan terdapat lapan paket plastik lutsinar berisi ketulan disyaki dadah syabu yang dianggarkan seberat 20 gram.

“Sejurus selepas itu, seorang lelaki yang datang untuk menuntut bungkusan makanan yang berisi dadah itu telah berjaya diberkas di SJR berkenaan.

“Penghantar makanan terbabit turut ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sudirman berkata hasil ujian awal saringan air kencing ke atas lelaki berusia 30 tahun yang menerima bungkusan nasi berkenaan mendapatinya positif Methamphetamine mnakala penghantar makanan berusia 30 tahun itu negatif.

Katanya kedua-dua suspek ditangkap di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan ditahan di lokap Balai Polis Kota Samarahan untuk siasatan lanjut.

Beliau menambah permohonan reman ke atas kedua-dua suspek akan dibuat pagi esok.

Secara Rawak

Artikel Terbaru