Thursday, September 23, 2021

Harapan kepada perdana Menteri dan Kabinet baharu

Mesti baca

Kita sudah terlalu lama bermain politik. Sudah sampai ketikanya kita berhenti berpolitik ketika negara dan rakyat berdepan cabaran getir.

Suhu politik  yang menggelegak ketika ini perlu diturunkan dengan semua pihak — bakal kerajaan dan pembaangkang melajukan gencatan senjata. Ajak semua parti  yang bertentangan membabitkan diri dalam kesatuan padu untuk menangani masalah negara.

Tumpuan harus diberi  kepada usaha memerangi  masalah pandemik, kesihatan, ekonomi dan pendidikan.

Kita akan tahu calon Perdana Menteri hari ini. Antara Datuk Seri Ismail Sabri  dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kelihatannya, Ismail punya peluang lebih cerah. Anwar kelihatannya terpaksa menggigit jari sekali lagi.

Justeru, kerajaan baharu nanti  perlu mengetepikan amalan politik lama yang bobrok. Menekan musuh politik, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri dan parti. 

Kita harus mengelak daripada terperangkap dalam politik lama yang meraih sokongan berdasarkan pemberian ganjaran dan kesetiaan. Itulah sebabnya kabinet kita terlalu besar kerana hendak mengakomodasikan penyokong setia.

Melangkah ke hadapan, kita perlu komited untuk melakukan reformasi institusi dan perlembagaan negara dengan melaksanakan tujuh tawaran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum beliau dan PN tersungkur tempoh hari.

Jika tujuh langkah berkenaan dilaksanakan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh, ini pasti baik untuk politik negara pada jangka panjang. 

Kita hendaklah pastikan politik negara berada di atas landasan yang betul mengikut lunas dan semangat undang-undang dan demokrasi berparlimen. Kita hendak amalkan politik matang dan bukannya politik cengeng dan mentah atau kebudak-budakan. 

Reformasi berkenaan jika dilaksanakan pasti membawa manfaat kepada negara, rakyat dan sistem demokrasi kita.

Ketidakstabilan dan ketidaktentuan politik hanya merugikan kita semua. Kita turun ke peti undi pada 2018 sekali untuk memilih kerajaan, dan kini kita bakal menyaksikan peralihan kerajaan tiga kali. Kita bagai hendak mengalahkan Jepun yang berubah perdana menterinya sampai lima kali setahun.

Semua pihak perlu akur kepada nasihat dan titah  Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya semua parti politik bersatu menghadapi Covid-19 dan juga masalah ekonomi.

Persoalannya, adakah pemimpin politik kita mendengar atau mereka akan terus mengharu-birukan politik negara demi kuasa dan kepentingan agenda peribadi mereka?

Untuk itu, kita ingin menyaksikan PM yang benar-benar bersikap inklusif, bersih, tinggi moral dan integritinya, mengutamakan kepentingan rakyat, bersikap terbuka kepada cadangan dan input, daripada semua pihak dan kurangkan politiking.

Awang Bolkiah Ali ialah pengamat politik tanah air.

Secara Rawak

Artikel Terbaru