Sunday, July 3, 2022

GPS boleh mesra Kerajaan Persekutuan tetapi tetap tegas – penganalisis politik

Secara Rawak

KUCHING: Tidak salah untuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengekalkan semangat mesra Kerajaan Persekutuan seperti yang diamalkan selama ini, kata penganalisis politik Profesor Datuk Mohd Fadzil Abdul Rahman.

Menurutnya, tidak kira mana-mana kerajaan terbentuk nanti, sikap GPS itu wajar diteruskan daripada mewujudkan sifat permusuhan yang tidak menguntungkan.

Namun, katanya keutamaan GPS memastikan tindak tanduk Kerajaan Persekutuan baharu yang tidak menampakkan sifat menekan, berat sebelah terhadap hak dan kesaksamaan rakyat dan Kerajaan Sarawak.

“Langkah mengekalkan sifat mesra dilihat lebih memberikan kelebihan berbanding bermusuhan. Biar mesra tapi tegas dan tidak boleh diambil ringan atau tunduk kepada sebarang tekanan hanya kerana mengamalkan pendekatan mesra Kerajaan Persekutuan itu.

“Pada masa sama, jika mana-mana kerajaan terbentuk mempelawa GPS untuk sekali lagi berada dalam kabinet tanpa syarat, ia wajar dipertimbangkan atas kapasiti dan semangat mewakili Sarawak dalam memastikan kelangsungan perancangan dan pembangunan Sarawak dapat dibawa secara langsung yang pastinya akan memberikan banyak kelebihan,” katanya yang dihubungi, semalam.

Bagaimanapun, Mohd Fadzil berkata, sekiranya Pakatan Harapan (PH) sekali lagi menerajui kerajaan baharu, GPS kemungkinan berhadapan masalah berdasarkan rekod kurang memberangsangkan PH sebelum ini, dengan membatalkan dan memotong beberapa projek mega dan sebagainya yang merugikan Sarawak.

Beliau menambah dalam konteks ini, ada kewajaran untuk GPS membuat penilaian terhadap apa-apa keputusan berhubung pendiriannya.

“Namun apa-apa keputusan dan tindakan terhadap kedudukan GPS selepas ini tertakluk sepenuhnya kepada pucuk pimpinan parti itu. “Mereka lebih arif dan bijaksana dalam mengemudi dan menentukan haluan serta hala tuju yang sudah semestinya memberikan manafaat dan kelebihan buat rakyat dan Kerajaan Sarawak sendiri sebagai asas terhadap segala percaturan,” katanya.

Sementara, Mohd Fadzil menegaskan hala tuju yang wajib dijadikan sasaran utama kerajaan baharu adalah memperbaiki dan memastikan serta mengekalkan kestabilan suasana politik itu sendiri terlebih dahulu kerana faktor ini antara kunci utama terhadap penyelesaian banyak isu lain.

Katanya, itu prasyarat utama yang perlu dijanjikan bagi menangani antara isu kritikal yang sedang melanda termasuklah menangani krisis pandemik Covid-19, memacukan sektor ekonomi dan industri bagi tujuan penjanaan pendapatan negara dan rakyat.

Beliau menambah, semua ini harus dibuktikan keberkesanannya melalui strategi jangka masa singkat dan panjang serta perancangan yang tepat dan mantap. Justeru, katanya kerajaan baharu seharusnya membuktikan keupayaan untuk mengekang peningkatan kes Covid-19 lantas mengembalikan semula punca pendapatan rakyat yang terkesan dengan mewujudkan semula peluang pekerjaan, perniagaan, merancakkan semula sektor industri pelancongan dan menstabilkan semula sektor pendidikan yang semuanya telah teruk terjejas selama ini.

“Hentikanlah episod drama politik tidak sihat yang tiada noktahnya itu kerana kerakusan untuk merebut kuasa dan kedudukan. “Sudah-sudahlah, tahap politik semasa negara sebenarnya sudah sampai ke tahap yang sangat menjelekkan.

“Tumpukanlah hala tuju selepas ini kepada agenda yang lebih kritikal sepertimana yang disebutkan daripada terus bersandiwara dan bermain politik hingga menyebabkan rakyat terhimpit tanpa kesudahan.  “Tidak cukup lagikah keluhan dan rintihan rakyat untuk menginsafkan pihak yang gila kuasa ini daripada terus menggila?”katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru