Sunday, September 19, 2021

Dera kanak-kanak: Sepasang kekasih di Kuching didenda RM5,000

Mesti baca

KUCHING: Sepasang kekasih masing-masing dijatuhi hukuman denda sebanyak RM5,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen semalam, atas kesalahan mendera seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, tahun lalu.

Hakim Afidah Abdul Rahman turut memerintahkan pasangan tersebut dikenakan bon berjumlah RM10,000 dalam tempoh dua tahun untuk berkelakuan baik dan perlu menjalani Perintah Khidmat Masyarakat sebanyak 120 jam.

Pasagan tersebut mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara bersama-sama oleh jurubahasa mahkamah.

Mahkamah turut memerintahkan pasangan kekasih tersebut dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukan denda tidak melebih RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Menurut fakta kes, ibu mangsa mendapati terdapat kesan-kesan lebam di badan anaknya selepas menjemput balik dari rumah tertuduh yang terletak di sebuah kedai kopi, sekitar 10.30 pagi pada 17 Oktober tahun lalu.

Pengadu membuat laporan polis dan tertuduh berjaya ditangkap pada 18 Oktober sekitar 12.30 petang tahun lalu di sebuah premis makanan di Batu Tiga.

Hasil siasatan mendapati tertuduh yang merupakan pengasuh telah mendera mangsa menggunakan rotan, batang penyapu, dan batang bulu ayam sehingga menyebabkan kecederaan.

Mangsa yang berusia lima tahun lapan bulan didapati cedera di bahagian pipi kanan, tangan kanan, siku kanan dan calar-calar di dada kiri dan kanan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nadratun Naim Mohd Saidi.

Secara Rawak

Artikel Terbaru