Saturday, October 23, 2021

Sambutan Hari Kebangsaan di Sarawak secara hibrid

Mesti baca

KUCHING: Sambutan Hari Kebangsaan 2021 peringkat negeri Sarawak akan disambut secara hibrid iaitu secara maya dan siaran langsung pada 31 Ogos ini.

Mengambil kira pandemik Covid-19, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, acara tersebut akan diadakan dengan skala yang kecil dan akan dihadiri tetamu jemputan.

“Acara tersebut juga akan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang menetapkan 100 jemputan sahaja tidak termasuk mereka yang melakukan persembahan,” katanya pada sidang media Sambutan Hari Kebangsaan 2021 Peringkat Negeri Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Penganjuran Hari Kebangsaan tersebut mendedahkan bahawa Hari Kebangsaan pada tahun ini masih mengekalkan tema yang lama iaitu ‘Malaysia Prihatin’ dan tema keduanya iaitu ‘Kita Menang Bersama’.

Melihat kepada tema kedua iaitu ‘Kita Menang Bersama’, Karim menyatakan bahawa tema ini menunjukkan bahawa perjuangan kita dahulu adalah untuk menentang penjajah, tetapi kini peperangan kita adalah melawan wabak pandemik Covid-19.

“Justeru, saya menyeru, semua individu, keluarga termasuk syarikat-syarikat untuk mengibarkan bendera Jalur Gemilang di rumah, kereta mahupun di bangunan masing-masing untuk memeriahkan lagi suasana sambutan.

“Dengan cara ini, kita akan sentiasa mengingati diri kita dalam menyemarakkan semangat cintakan tanah air malah tarikh keramat ini akan sentiasa terpahat dalam jiwa dan hati kita,” ujarnya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru