Sunday, September 19, 2021

Dua lelaki muda edar dadah di Kuching diserbu

Mesti baca

KUCHING: Dua lelaki yang terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah ditahan polis hasil susulan serbuan berasingan yang dijalankan pada 13 Ogos hingga 15 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ashmon Bajah berkata kedua-dua suspek yang ditahan merupakan warga tempatan berusia 22 tahun dan 24 tahun.

Menurutnya, serbuan dijalankan di Federal Park, Matang, kawasan tepi jalan berhadapan Hotel Imperial, sebuah kondominium di Jalan Lapangan Terbang dan di tepi Jalan Kup Hee yang membawa kepada tangkapan dua orang suspek.

Katanya, polis telah merampas sejumlah 17,838 biji ecstasy seberat 7,563 gram, methamphetamine seberat erat 299 gram, enam kotak mengandungi methamphetamine seberat 6,372 gram, wang tunai RM3,535 dan dua buah kenderaan iaitu Mitsubishi Triton dan Perodua Axia dengan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM 1.045 juta yang merupakan rampasan yang terbesar di Kuching.

Ashmon berkata, kedua-dua suspek ini telah direkrut dalam kegiatan pengedaran dadah tersebut yang telah beroperasi sejak tahun 2013.

Jelas beliau, modus operandi kegiatan ini menggunakan perkhidmatan kurier untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

“Dadah yang mereka terima ini dihantar dari luar Sarawak dan dihantar menggunakan alamat palsu dan apabila sampai, tiada penerima kerana menggunakan alamat palsu.

“Kemudian, salah seorang dari suspek yang ditangkap ini akan memainkan peranan dengan memberi alamat baharu atau berpura-pura telah dihubungi penghantar bahawa telah menerima barangan tersebut,” katanya pada sidang media di IPD Kuching, Jalan Simpang Tiga hari ini.

Kata Ashmon, kedua-dua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan ditahan reman selama tujuh hari sehingga 22 Ogos dan disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Dengan tangkapan ini, polis dapat merungkai lagi beberapa kes yang berkaitan dan mencari suspek-suspek yang terlibat,” katanya.

Sehubungan itu, Ashmon meminta orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan dadah kepada polis untuk membenteras kegiatan tersebut.

Secara Rawak

Artikel Terbaru