Thursday, September 23, 2021

Adakah badai politik akan berakhir?

Mesti baca

BERNADA kompromi, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui siaran langsung TV semalam bagai membuka satu lagi lembaran baharu dalam usaha kerajaan untuk menstabilkan dan meredakan badai politik yang melanda negara.

Tujuh tawaran jika sokongan usul undi percaya bipartisan diperoleh, adakah mungkin mencairkan hati pembangkang untuk menerimanya? Adakah PH akan tergiur dengan durian runtuh itu? Apakah risikonya jika mereka menerima? Apakah pula risiko dan kesannya jika mereka menolak?
.
Antara cadangan sokongan bipartisan di Parlimen termasuk peruntukan sama rata kepada semua ahli parlimen tanpa mengira parti, ketua pembangkang bertaraf menteri kanan, rang undang-undang antilompat parti dan pembentangan rang undang-undang dua penggal maksimum untuk jawatan Perdana Menteri.

Selain itu, akan diwujudkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen lebih seimbang dengan 50 peratus keanggotaan kepada pembangkang. Perdana Menteri juga mengumumkan undi 18 akan dilaksanakan tanpa perlu menunggu pendaftaran automatik pemilih.

Mandat memilih kerajaan akan diserahkan kepada rakyat dalam PRU-15, selewat-lewatnya Julai 2022.

Sudah terang lagi bersuluh, tawaran itu bertujuan memastikan kemenangan undi percaya di Parlimen pada 7 September nanti ketika keabsahan jawatannya dipertikaikan banyak pihak.

Ini merupakan langkah drastik terdesak untuk menyelamatkan diri ketika nyawa-nyawa politiknya sudah hampir berakhir.

Memang, tawaran itu adalah yang terbaik pernah diberi kepada pembangkang, malangnya ia sudah terlalu lambat. Tidak dapat dipersalah jika pembangkang mempersoalkan tawaran itu. Tawaran dan janji berkenaan tidak lebih sebagai strategi untuk melanjutkan hayat politik Perdana Menteri ketika beliau sudah hilang sokongan majoriti.

Langkah yang diambil Muhyiddin itu dianggap sebagai rasuah politik dan rasuah jawatan yang dilakukan secara terbuka daripada pemimpin yang sudah hilang keabsahan untuk berada di kedudukan itu.

Tidak hairanlah pembangkang menyambut tawaran kerjasama rentas kepartian itu dengan skeptis, ragu dan sinis meskipun dua pemimpin DAP Tony Pua dan Ong Kian Ming menyatakan ia perlu diteliti. Susulan reaksi kedua-dua pemimpin itu, netizen rata-rata tidak setuju dan mengkritik mereka.

Persoalannya, mengapa tawaran indah, reformis dan menggiurkan itu hanya dilakukan sekarang? Mengapa tidak jauh sebelum ini? Bukankah beliau sudah menjadi Perdana Menteri selama lebih daripada 17 bulan?

Untuk pembangkang menerimanya, adalah mustahil. Sebab, agenda utama pembangkang ketika ini, diakui atau tidak oleh mereka, adalah untuk menumbangkan Muhyiddin dan kerajaan PN walau apa-apa pun justifikasi dan alasan lain mereka. Dalam pemikiran Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk apa menjadi ketua pembangkang setaraf menteri kalau ada peluang menjadi Perdana Menteri?

Motif dan agenda utama mana-mana pembangkang tentu untuk menjadi kerajaan. Mereka masih lagi kempunan kerana terpelanting awal dari kerusi di Putrajaya apabila hanya berjaya memerintah selama 22 bulan. Pemimpin seperti Lim Guan Eng yang kempunan kerana menjadi menteri dan memerintah separuh jalan tentu ghairah untuk kembali berkuasa agar dapat melaksanakan agenda parti cauvinis itu semula.

Mereka sanggup lakukan apa-apa sahaja, termasuk mengadakan demonstrasi di luar parlimen walaupun tahu tindakan itu melanggar prosedur operasi standard yang ditetapkan kerajaan. Ketaasuban dan kegilaan untuk mendapatkan kuasa sekali gus meletakkan kepentingan rakyat dan negara di pinggiran. Bagi pemimpin politik tersebut, kuasa adalah segala-galanya.

Adakah pemimpin seperti Anwar dan Guan Eng mampu menangani dan menyelesaikan masalah yang dihadapi negara ketika ini? Atau mereka akan memohon derma daripada rakyat sekali lagi seperti sebelum ini untuk mengisi tabung kononnya untuk menyelamatkan negara? Atau pemimpin DAP itu akan sekali lagi memberi wang e-dompet sebanyak RM30 untuk meringankan beban kita semua?

Semalam, Majlis Presiden PH yang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah menyatakan bahawa mereka yakin mampu mengemukakan suatu perancangan yang lebih baik, terutama dalam menangani pandemik Covid-19, menghidupkan semula ekonomi, serta menyelamatkan rakyat dan mata pencarian mereka.

Kenyataan itu mengingatkan saya kepada aforisme pemimpin politik Soviet, Nikita Sergeyevich Krushchev (1894-1971), bahawa politik sama sahaja di mana-mana: Mereka menjanjikan untuk membuat jambatan meskipun di tempat itu tidak ada sungai.

Daripada kata-kata dan nadanya, perlu diakui bahawa Muhyiddin kelihatan ikhlas dalam menghulurkan tangan persahabatan walaupun memang terdapat pihak yang menganggapnya sebagai langkah terakhir bagi beliau terus bergayut di jawatan itu.

Muhyiddin dalam ucapan bersolidariti menegaskan dia tidak akan meletak jawatan walaupun keabsahan sokongan yang diterimanya dipertikaikan dan diragui.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga mendakwa tiada mana-mana ahli parlimen kini mendapat sokongan majoriti daripada ahli parlimen untuk membolehkan perdana menteri baru dilantik.

Alasannya, dalam keadaan tiada mana-mana pihak yang mempunyai majoriti, siapakah yang akan bertanggungjawab jika beliau dan seluruh kabinetnya meletak jawatan.

Krisis dan gelora politik perlu dielakkan ketika ini bagi memastikan tumpuan dapat diberi terhadap prakarsa dan langkah memerangi Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara. Alangkah baiknya kalau pembangkang dan kerajaan — dan rakyat seluruhnya, dapat melakukan gencatan politik. Tetapi itu satu utopia atau keadaan unggul sedangkan dari segi realpolitik, sukar untuk mencapai impian tersebut.

Apatah lagi, ketika ini, politik kita amat berpecah. Umno berpecah, PN berpecah, malah pembangkang juga berpecah. Disebabkan itu, rakyat juga berpecah dan mempunyai pandangan yang saling bertentangan tentang apa-apa sahaja langkah yang diambil oleh kerajaan. Dikotomi dan pertentangan duaan berlaku dalam naratif dan wacana politik negara sebagai manifestasi daripada sentimen perpecahan dan perbezaan ideologi dan pandangan politik yang ketara di akar umbi.

Negara tidak boleh tanpa haluan dan kepimpinan yang jelas. Keadaan politik negara perlu keluar daripada sebarang kecelaruan dan kemelut. Masa depan negara lebih penting daripada semua pemimpin politik dan ahli politik. Pemimpin politik datang dan pergi.

Untuk itu, kita mengharapkan pemimpin politik kita membuat keputusan dan tindakan bersandarkan undang-undang dan perlembagaan negara.

Ya, tiada yang lebih utama didambakan daripada pemimpin politik utama, melainkan perlu mengambil tindakan dan keputusan mengikut landas undang-undang dan perlembagaan.

Persoalannya, adakah gelora dan badai politik akan berlalu selepas Tan Sri Muhyiddin berundur?

Dr Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara.

Secara Rawak

Artikel Terbaru