Sunday, September 19, 2021

Kelewatan projek Pan Borneo sukar dielak waktu ini

Mesti baca

MIRI: Projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Sarawak sudah mencapai pelaksanaan 69.60 peratus, meskipun berdasarkan kontrak ia dijadual siap sepenuhnya pada September 2022. Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kelewatan penyiapan projek sememangnya tidak akan dapat dielakkan berikutan PKP dan kesan lain.

“Kelewatan projek tidak dapat dielakkan atas kekangan kesan PKP, masalah rantaian bekalan dan kenaikan kos bahan binaan, kekurangan pekerja, kesukaran mendapatkan tenaga kerja dan cabaran pematuhan PKP yang berbeza di lokaliti setiap bahagian di Sarawak,” katanya dalam Sesi Libat Urus Bersama Kontraktor dan Perunding WPC LPB Sarawak pada Ahad.

Menurutnya, apabila projek siap kelak, rakyat Sarawak bakal menikmati jaringan jalan raya lebih selesa dan efisien serta berpeluang untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sektor pembinaan.

“Projek ini juga akan menjadi pemangkin kepada Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (Score) dan pembangunan kawasan yang berpotensi tinggi khususnya pusat komersial dan perindustrian di sepanjang jajaran LPB Sarawak,” katanya.

Terdahulu, Fadillah turut memantau prestasi pembinaan LPB Sarawak Pakej Kerja (Pakej Kontrak Kerja–WPC) 10 dan 11 di Bintulu dan Miri.

Selain meneliti prestasi kemajuan kerja WPC10 iaitu jajaran Batu 5 ke Sungai Tangap dan jajaran WPC11 dari Sungai Tangap ke Jalan Pujut Link, tinjauan berkenaan juga untuk mendapatkan maklum balas berhubung kekangan dan langkah penambahbaikan yang sedang diambil dalam memastikan kelancaran projek akibat penularan pandemik Covid-19.

“Antara cabaran yang dihadapi dan perlu diatasi kementerian dan pelaksana projek adalah memastikan projek terus berjalan dalam tempoh pandemik. “Ia dengan mengimbangi keperluan pembangunan ekonomi dan pada masa yang sama meminimumkan risiko penularan Covid-19.

“Impak penularan pandemik dan pelaksanaan PKP menyebabkan kelewatan pelaksanaan projek serta kenaikan kos bahan binaan,” jelasnya.

Fadillah menambah, ia juga memberi kesan kepada isu tenaga pekerja yang semakin berkurangan susulan hanya 60 peratus pekerja dibenarkan di tapak pembinaan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Satu, serta 80 peratus untuk Fasa Dua dan Fasa Tiga PPN. Pada masa sama, pemaju projek juga berdepan kesukaran mendapatkan pekerja ketika pandemik.

“Kerajaan Persekutuan sentiasa komited memastikan peruntukan projek infrastruktur utama negara ini mencukupi selain berkerjasama rapat dengan Kerajaan Sarawak untuk peningkatan kapasiti rantaian bekalan yang terlibat,” jelasnya. Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin; Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting dan Adun Telang Usan Dennis Ngau turut hadir.

Secara Rawak

Artikel Terbaru