Sunday, September 19, 2021

Jejambat 1.2 km jajaran Bintulu-Miri , terpanjang di Sarawak

Mesti baca

BINTULU: Pembinaan jejambat sepanjang 1.2 kilometer   di Lebuh Raya Pan Borneo Jajaran Bintulu-Miri Projek Pakej Kerja (Work Package Contract-WPC 10) Batu 5 – Sungai Tangap, Nyabau Interchange merupakan jejambat terpanjang di negeri ini.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, jejambat itu dijangka siap  pada penghujung tahun ini (2021).

Katanya,  beliau sendiri telah melihat(jejambat) dan cuma beberapa kerja-kerja penurapan dan lain-lainnya masih dalam proses penyiapan.

“Beruntung orang Bintulu mendapat jejambat paling panjang,” katanya pada sidang media semasa memantau perkembangan projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Jajaran Bintulu-Miri di Tapak Projek Pakej Kerja (Work Package Contract-WPC 10) Batu 5 – Sungai Tangap, Nyabau Interchange semalam.

Tambah Fadillah lagi, kementeriannya akan membuat audit sebelum diluluskan sekali gus dibuka kepada orang ramai sekiranya ia siap penghujung tahun kelak.

Pada masa sama, beliau mempelawa  anak-anak Sarawak khususnya yang  berpengalaman dan tidak mempunyai pekerjaan untuk memohon pekerjaan  dalam projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak ekoran kekurangan tenaga kerja yang mana sebelum ini majoriti tenaga kerja adalah terdiri daripada warga Indonesia.

Namun, impak pandemik Covid-19, tenaga kerja asing terbabit tidak dapat meneruskan pekerjaan berikutan penutupan pintu sempadan.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) merangkap Adun Jepak Datuk Talib Zulpilip, Setiausaha Bahagian Pembangunan dan Penswastaan Kementerian Kerja Raya Datuk Zahrul Hakim Abdullah dan Ketua Unit Lebuh Raya Pan Borneo Jabatan Kerja Raya Sarawak Sudin Jaya hadir sama.

Secara Rawak

Artikel Terbaru