Thursday, September 23, 2021

Kenali Ahmad Shawal, penulis novel Melayu terawal Sarawak, berusia 145 tahun 

Mesti baca

Kelahiran novel Hikayat Panglima Nikosa mengubah  sejarah perkembangan novel  Melayu di negara ini. Apabila Persatuan Kesusasteraan Sarawak menerbitkan novel itu untuk pertama kali pada 1983, pengkaji dan sarjana sastera tanah air bertanya, adakah karya itu sebuah hikayat atau novel? Setelah meneliti karya berkenaan yang ditemui di London, mereka bersetuju buku itu ialah sebuah novel. Ini sekali gus merupakan titik tolak baharu dalam dunia dan sejarah penerbitan novel  di negara ini.

Buku karya Ahmad Shawal Abdul Hamid itu diterbitkan pada 30 Jun 1876 di Bukit Persinggahan, Kampung Boyan, Kuching.

Hal ini bermakna, novel berkenaan sudah berusia 145 tahun, dan akan berusia 150 tahun pada 2026 nanti.

Sekurang-kurangnya sepuluh tulisan atau kajian tentang buku berkenaan telah dihasilkan setakat ini. Namun, belum ada tulisan yang menyeluruh dan mendalam mengenai pengarangnya.

Ya, siapakah Ahmad Shawal Abdul Hamid? Ahmad Shawal bukan sembarang orang. Beliau dapat dianggap sebagai tokoh dan orang ternama dalam kalangan masyarakat Melayu di Kuching. Malah, gambaran Margaret Brooke (1903) tentang beliau memberi kita imej dan ketokohannya. Secara ringkas dari segi fizikal, beliau ialah Melayu Sumatera, memiliki wajah yang bulat, dan kulit gelap, serta berambut keriting. Beliau dilukiskan sebagai seorang yang ceria, mudah berkawan, baik hati dan murah hati.

Ahmad Shawal disifatkan sebagai ‘a cultured man’ seorang yang berbudaya, halus budi pekertinya, malah seperti kata Margaret, “in fact they considered him the arbiter of Malay literature.” Tegasnya, beliau seorang tokoh yang mempunyai wibawa dan pengetahuan yang mendalam dalam bidang sastera. Dengan kata lain, beliau ialah tokoh sastera yang terbilang pada zamannya dan dipandang tinggi oleh masyarakat ketika itu. Untuk lebih jelas dikutip kenyataan berkaitan dengan Ahmad Shawal seperti dilukiskan oleh Margaret Brooke (1903: 160).

Inchi Shawal was a great stickler for grammar. He was a Sumatran Malay, and his face was rounder, his features rather thicker and his complexion darker than our Malays; moreover, his hair was curly, and his whole appearance was cheerful, gental and kind. His functions were numerous. He was, of course, a Muhamadan, and had a frienly relations with all Malay cheifs of Kuching, but whom he was looked upon as a cultured man: in fact they considered him the arbiter of Malay literature.

Ahmad Shawal ialah seorang selebriti di Kuching. Dalam konteks moden, yang dimaksudkan Margaret Brooke ialah beliau amat terkenal dalam kalangan masyarakat di Kuching, tentunya bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Melayu, malah kaum-kaum lain.

Status selebriti seorang itu bukan sahaja disebabkan oleh kepemimpinannya dan pengetahuannya dalam sesuatu bidang, tetapi juga penerimaan masyarakat terhadapnya.

Apatah lagi, jika seseorang itu berkhidmat dengan pemerintahan d Brooke dan mempunyai hubungan yang istimewa dengan pemimpin berkenaan. Menurut Ooi Keat Gin (2001), golongan atasan Melayu memperoleh martabat dan kuasa melalui pelantikan ke jawatan peringkat tengah sebagai Pegawai Peribumi dan ketua kampung dalam Kerajaan Brooke.

Daripada kaca mata orang Melayu, menurut beliau, jawatan seumpama itu amat disanjung tinggi kerana ia membawa individu tersebut mendampingi Rajah Putih. Mereka yang dilantik juga kata beliau, perlu mempunyai pendidikan asas dalam bahasa Melayu agar dapat melaksanakan tugas rasmi mereka.

Sebagaimana yang dijelaskan oleh Margaret Brooke tadi, beliau mempunyai hubungan yang mesra dan baik dengan semua ketua masyarakat Melayu di Kuching ketika itu, malah dipandang tinggi oleh mereka bukan sahaja kerana perwatakannya, tetapi juga ketokohan dan kepakarannya serta pengalamannya dalam budaya dan sastera serta bahasa Melayu.

Berbanding Munshi Abdullah, tidak banyak yang diketahui tentang Ahmad Shawal, malah tidak ada kajian yang mendalam, jauh berbeza daripada kajian yang dilakukan terhadap tokoh sastera Melayu moden itu. Sedangkan Ahmad Shawal juga ialah tokoh sastera Melayu moden di Sarawak.

Selain tulisan Margaret Brooke (1913), isteri Rajah Brooke kedua Sarawak, Charles Anthony Johnson Brooke, satu lagi buku yang menyentuh sedikit banyak tentang Ahmad Shawal ialah

Noel Denison (1879) seperti yang terkandung dalam buku Jottings Made During a Tour Amongst the Land Dayaks of Upper Sarawak, Borneo, during the year 1874. Mengikut pegawai Brooke ini, Ahmad Shawal dipandang tinggi oleh masyarakat Eropah di Sarawak, malah kebanyakan mereka pernah diajar bahasa Melayu oleh beliau.

Ahmad Shawal merupakan ‘court writer’, dan guru bahasa yang dikenali dalam kalangan pegawai Brooke. Penguasaan bahasa tempatan, terutama bahasa Melayu penting bagi memudahkan pegawai Brooke memerintah, memberi arahan dan bergaul atau berinteraksi dengan masyarakat tempatan. Beliau disifatkan “a great stickler for grammar.” Maksudnya, Ahmad Shawal seorang ahli tatabahasa yang teliti yang menekankan ketepatan penggunaannya bagi memastikan penggunaan yang betul dalam kalangan pegawai Brooke.

Tidak syak lagi, disebabkan kemahirannya dalam bidang bahasa dan budaya, beliau dianggap sebagai guru. Ahmad Shawal menguasai bahasa Arab dan seorang sarjana Melayu yang hebat, malah telah banyak mengajar pegawai pentadbir Rajah dalam hal berkaitan dengan bahasa Melayu. Margaret Brooke (1903) melukiskan hakikat ini dengan jelas:

He was call a “Guru” (master of arts). He knew Arabic, was as good Malay scholar and had taught a great many of the Rajah’s officers in the intricacies of the language. Formerly he had been a Malay writer to the late Rajah.”

Kalau Munsyi Abdullah ialah guru bahasa kepada pegawai penjajah British di Singapura, Ahmad Shawal di Kuching pula ialah jurutulis Brooke di Sarawak. Seperkara yang menarik, Margaret Brooke juga menjadikan Ahmad Shawal sebagai guru yang mengajar beliau tulisan Jawi.

Dengan itu, Margaret dapat mengajar dayang-dayang. Misalnya, Dayang Sahada, anak menantu Datu Bandar, pantas menguasai kemahiran berkenaan. Beliau berasal dari Bangkahulu, Sumatera Selatan dan seterusnya menjawat sebagai Setiausaha Sulit Brooke.

Seperti pegawai British di Singapura dan tanah Melayu, Brooke juga mendapatkan khidmat orang Melayu untuk membantu beliau dari segi bahasa dan budaya tempatan, sebagai jambatan penghubung dengan masyarakat Melayu tempatan.

Ahmad Shawal merupakan antara segelintir orang Minangkabau dari Sumatera yang dilantik oleh James Brooke dalam pentadbiran Sarawak selain daripada Encik Omar, Encik Buyong dan Encik Ersat. Meskipun bukan daripada kalangan elit di Kuching atau daripada golongan perabangan, kedudukan orang Meningkabau, termasuk Ahmad Shawal adalah istimewa di mata Brooke.

Jika di Singapura dan Tanah Melayu Munsyi Abdullah dan Syed Syeikh al-Hadi dapat dianggap sebagai tokoh penting yang menggerakkan semangat pemodenan bangsa, dan meniup semangat reformasi atau pembaharuan pemikiran dalam kalangan masyarakat Melayu, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Ahmad Shawal memainkan peranan yang serupa di Sarawak.

Melalui HPN, beliau telah berusaha untuk menyuntik semangat zaman kepada masyarakat Melayu di Sarawak.

Yang amat ditekankan ialah sikap positif dan dinamik bagi memastikan kemajuan dan pembangunan dapat dicapai, termasuk dari segi pendidikan, sosial dan ekonomi. Kesedaran sosial dengan penekanan diberi terhadap pentingnya pendidikan dan perubahan fikiran membayangkan komitmen Ahmad Shawal untuk menyaksikan masyarakat Melayu dapat mencapai kemajuan dan perubahan.

Sesungguhnya, sudah ada kesedaran tentang pentingnya pertanian moden diusahakan, selain memanfaatkan sebaik-baiknya tanah sebagai sumber rezeki sekitar 145 tahun lalu. Bukankah itu membayangkan pengarangnya seorang tokoh pemikir dan intelegensia pada zamannya?

.     Ahmad Shawal ialah pelopor pembinaan sekolah Melayu pertama di Sarawak pada 1883 dan dikatakan mempunyai kedudukan tinggi dalam kalangan masyarakat Melayu bukan sahaja kerana hubungannya dengan Brooke, tetapi disebabkan kelayakan, pengalaman dan kemahirannya dalam bahasa Melayu dan budaya Melayu.

Itulah sebabnya, beliau banyak mempengaruhi dasar Brooke ke atas pendidikan masyarakat Melayu di Sarawak, seperti yang dipaparkan Ranee Margaret.

Ahmad Shawal meninggal dunia pada 2 Disember 1903, sementara usia beliau meninggal dunia tidak diketahui kerana rekod tentang tarikh kelahiran beliau tidak dapat dikesan setakat ini.

Kajian yang lebih mendalam dan menyeluruh perlu dilakukan terhadap tokoh sastera Melayu ini bagi membolehkan masyarakat kini dan akan datang lebih memahami ketokohan, sumbangan dan peranannya dalam membawa pembangunan kepada masyarakat ketika itu.

Dr Jeniri Amir penganalisis politik dan pengamat sastera  ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara

Secara Rawak

Artikel Terbaru