Sunday, September 19, 2021

Program Biasiswa Pertukaran Pelajaran Yayasan Sarawak

Mesti baca

PROGRAM Biasiswa Pertukaran Pelajaran antara inisiatif penting dalam sejarah penubuhan Yayasan Sarawak. Tujuan program ini mewujudkan integrasi nasional di antara Semenanjung Malaysia, Sabah dengan Sarawak. Selain itu, skim ini melibatkan penajaan dan penghantaran pelajar cemerlang tingkatan satu dan tingkatan empat.

Antara jenis sekolah terlibat ialah sekolah berasrama penuh, sekolah berprestasi tinggi di Semenanjung Malaysia serta Kolej GENIUS@Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Selain itu, skim ini juga melibatkan sekolah terpilih di Sarawak bagi pelajar dari Sabah dan Semenanjung Malaysia. Juga tidak terkecuali sekolah terpilih di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bagi pelajar Sarawak di bawah tajaan Yayasan Sabah.

Program ini mula diperkenalkan  pada 1972 dengan penghantaran kumpulan pertama pelajar dari Sarawak bagi tujuan kemasukan tingkatan satu di sekolah menengah terpilih di Semenanjung Malaysia. Pada masa itu, pemilihan dalam kalangan pelajar sekolah rendah berdasarkan keputusan cemerlang peperiksaan darjah enam.

Menerima Tajaan

Pelajar cemerlang turut menerima tajaan dalam bentuk yuran, alat tulis, elaun saku, pakaian seragam sekolah dan tiket penerbangan setiap tahun. Yayasan Sarawak juga turut menaja pelajar terpilih dari Sabah melanjutkan pelajaran di Sarawak. Selain itu, pelajar Sarawak terpilih belajar di sekolah terpilih di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan turut ditaja oleh Yayasan Sabah.

Pelaksanaan program ini dapat dijadikan contoh ke arah memupuk persefahaman kebudayaan antara masyarakat berlainan bangsa dan agama dari seluruh pelosok tanah air. Program ini juga selari dengan usaha Kementerian Pendidikan menyelaraskan sistem pendidikan kebangsaan dari segi pembangunan, pembentukan identiti kebangsaan dan perpaduan negara.

Usaha ini juga dapat memupuk persefahaman kebudayaan di samping mendapat perspektif lebih mendalam terhadap budaya asing. Semestinya, pencapaian akademik pelajar juga sangat membanggakan. Memetik laporan Sarawak Vanguard, bekas pengarah Yayasan Sarawak, Allahyarham Datuk Amar Abang Yusuf Puteh berkata: “Kami baharu menerima keputusan peperiksaaan penggal untuk tahun ini.

Di Sekolah Menengah Jitra, Kedah, Kita mempunyai 20 pelajar tingkatan tiga. Keputusan peperiksaan menunjukkan pelajar tajaan kita menduduki tangga pertama hingga ke-11 daripada 241 pelajar di sekolah tersebut. Ini merupakan rekod cemerlang.”

Beliau merujuk kepada pencapaian cemerlang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Mersing, Johor, Valentine Khoo menduduki tempat pertama selama dua tahun berturut-turut.

Melahirkan Tokoh Terkenal

Setelah hampir 50 tahun program ini dilaksanakan, Yayasan Sarawak sangat berbangga kerana berjaya melahirkan tokoh terkenal menerusi inisiatif ini. Antara tokoh tersebut ialah Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusuf, Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam, Abdullah Saidol, Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, pakar perubatan Hospital Columbia Asia, Miri, Datuk Dr Philip Raja, pengasas dan pengurus besar Kumpulan Komsortium Bumi Consultant and Services, Datuk Ir Janang Bungsu, Setiausaha Tetap Kementerian Bandar dan Sumber Asli, Datuk Sr Zaidi Mahdi dan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Kameri Aandi.

Secara tidak langsung, program ini menjadi penyebab utama Yayasan Sarawak mewujudkan pejabat cawangan di Kuala Lumpur untuk mengurus hal ehwal pelajar Sarawak berada di Semenanjung Malaysia. Pejabat cawangan juga menjadi rumah kedua kepada pelajar Sarawak terutama ketika musim cuti persekolahan.

Biasanya, program perkampungan pelajar diadakan sekali gus memberi peluang mengeratkan hubungan persahabatan sesama mereka. Ini juga dapat membantu mereka meningkatkan jati diri anak muda yang sepatutnya diberi peluang berinteraksi dengan golongan sebaya.

Menerusi program ini, Yayasan Sarawak terbukti memberi sumbangan dalam bidang pendidikan sejak awal penubuhan pada sekitar 1970-an. Memetik kata Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi:

“Saya merupakan salah seorang pelajar terpilih dalam program pertukaran pelajar. Yayasan Sarawak meneruskan kesinambungan sejak dahulu dalam usaha memartabatkan bidang pendidikan di Sarawak. “ Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Pelajar Cemerlang Yayasan Sarawak Bahagian Kuching pada 26 Oktober 2019.

Bagi yang berminat mengetahui program ini, sila layari laman sesawang Yayasan Sarawak di https://www.yayasansarawak.orgmy/my/program-dan-bantuan/. Sesuai dengan perkembangan masa, maka syarat permohonan menyertai porgram ini adalah seperti berikut:

1. Pelajar mendapat tempat di Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Berprestasi Tinggi atau Kolej GENIUS@ Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

2. Pelajar menduduki peperiksaan awam di sekolah kerajaan atau bantuan kerajaan di Sarawak.

3. Mendapat keputusan cemerlang UPSR atau PT3.

4. Pelajar dari Sabah yang dipilih oleh Yayasan Sabah.

5. Keutamaan kepada pelajar dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah.

Sempena sambutan ulang tahun penubuhan ke-50, Yayasan Sarawak melancarkan Dewan Kemasyhuran (Hall of Fame) yang memaparkan pencapaian cemerlang bekas pelajar tajaannya sejak awal penubuhan sehingga sekarang.

Penyenaraian dalam Dewan Kemasyhuran (Hall of Fame) juga termasuk pencapaian bekas pelajar pernah menyertai program pertukaran pelajar. Oleh itu, kami amat berbesar hati menyeru semua bekas pelajar program pertukaran pelajar menghubungi kami selanjutnya di talian 082-441686 atau di alamat e-mel ys@yayasansarawak.org.my

Secara Rawak

Artikel Terbaru