Saturday, October 23, 2021

Covid-19: Peratus ibu hamil terima rawatan rapi naik

Mesti baca

KUCHING: Peratus ibu hamil yang dijangkiti COVID-19 yang menerima penjagaan rawatan rapi telah meningkat dari 3 peratus pada 10 Julai 2021 kepada 5.3 peratus pada 7 Ogos 2021.

Menurut Ketua Pengarah kesihatan Malaysia (KKM) Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah,  analisis terperinci menunjukkan nisbah kes ibu hamil dijangkiti COVID-19 yang menerima rawatan rapi berbanding jumlah pesakit Covid-19 kritikal ialah 1 dalam 20.

“Nisbah ini jauh lebih tinggi berbanding nisbah jangkitan ibu hamil dalam populasi umum iaitu 1 dalam 220,’ jelasnya.

Katanya, sehingga 9 Ogos 2021, sebanyak 70 kes kematian ibu hamil disebabkan oleh komplikasi jangkitan Covid-19 telah dilaporkan berbanding tiada kes kematian ibu hamil yang disebabkan komplikasi jangkitan Covid-19 dilaporkan pada tahun 2020.

“Bagi tahun 2021, purata kes Covid-19 bagi bulan Januari 2021 sehingga bulan Mei 2021 adalah sebanyak 2 kes pada setiap bulan. Walau bagaimanapun, berlaku peningkatan kes kematian dilaporkan sejak bulan Jun 2021 iaitu sebanyak 17 kes kematian. Data menunjukkan 15 kes langsung tidak menerima vaksin Covid-19. Berdasarkan maklumat sedia ada, sebanyak 47 peratus dari kes kematian yang dilaporkan juga mempunyai komorbid,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, sehingga 8 Ogos 2021, seramai 146,759 ibu hamil telah mendaftar di aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan vaksin Covid-19, sejak kempen ibunisasi dimulakan pada akhir Jun 2021.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 83,251 (57 peratus) ibu hamil telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. Sebanyak 20 peratus ibu hamil telah lengkap menerima 2 dos vaksin. Berdasarkan anggaran ibu hamil setahun, peratus ibu hamil yang mendaftar untuk mendapatkan vaksin di aplikasi MySejahtera masih rendah iaitu sebanyak 40 peratus,”  katanya lagi.

Katanya, memandangkan ibu hamil tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan Covid-19 yang teruk, langkah-langkah pencegahan amat penting bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.

“KKM menyeru semua ibu hamil untuk mendapatkan vaksin Covid-19 bagi mengurangkan risiko komplikasi sekiranya dijangkiti Covid-19. Para suami mestilah memberi sokongan kepada pasangan bagi memastikan mereka mendapat suntikan vaksin Covid-19,’ katanya

“Pengambilan vaksin perlu dilengkapkan sebelum memasuki fasa akhir kehamilan iaitu trimester ketiga. Ibu hamil yang masih belum menerima janji temu untuk vaksinasi boleh menghubungi klinik kesihatan terdekat bagi mempercepatkan proses janji temu,” ujarnya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru