Sunday, September 19, 2021

Kerajaan Sarawak komited ringankan beban petani

Mesti baca

SARIKEI: Kerajaan terus membantu menyelesaikan masalah lambakan hasil pertanian bagi mengekang risiko kerugian dalam kalangan petani tempatan.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, inisiatif itu bukan sesuatu yang baru kerana sudah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, ia dipergiatkan lagi sejak tahun lalu ketika ramai petani terjejas akibat penularan pandemik Covid-19. “Program ini dilaksanakan di seluruh Sarawak menerusi Jabatan Pertanian dan Pertubuhan Peladang Kawasan.

“Kami menyalurkan peruntukan untuk membeli secara lambak produk hasil pertanian, kemudian diagihkan semula. “Ini merupakan sebahagian komitmen kerajaan membantu meringankan beban petani bagi mengelakkan mereka berdepan kerugian,” katanya kepada media selepas menyampaikan sumbangan bakul hasil tani kepada petugas barisan hadapan di Dewan Suarah di sini, pada Sabtu.

Sehubungan itu, beliau menggesa pekebun memanfaatkan peluang itu sebaik mungkin dengan mengemukakan masalah kepada agensi yang berkaitan. Pada masa yang sama katanya, kerajaan sentiasa melaksanakan pelbagai pendekatan proaktif untuk membantu meringankan beban mereka yang terkesan.

Jelasnya, bagi kawasan Dun Kuala Rajang, pembelian lambakan hasil pertanian itu bukan sahaja diadakan di Zon Sarikei tetapi juga di Tanjung Manis bagi membantu petani di kawasan terbabit. “Pendekatan ini sudah lama kami buat tetapi hanya tahun lepas kami menguar-uarkan kepada warga petani kerana memahami masalah mereka untuk memasarkan hasil berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Petani yang berdepan masalah ini (lambakan) boleh menghubungi Jabatan Pertanian atau pertubuhan peladang di kawasan masing-masing,” katanya. Program penyerahan bakul hasil tani itu merupakan sebahagian usaha menghargai sumbangan petugas barisan hadapan di Sarikei.

Wakil Pegawai Daerah Sarikei Ainur Yazmin Zaini; Pegawai Pertanian Bahagian Sarikei Rainy Yaman; Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan Sarikei Pemanca Ladin Sebang; Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan Sarikei Yunus Akup dan Penolong Pegawai Pertanian Daerah Sarikei Muhammad Ridzuan Paul Thomas Abdullah turut hadir.

Secara Rawak

Artikel Terbaru