Thursday, December 9, 2021

360 kematian semalam: Malaysia ketujuh paling tinggi di dunia

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata seluruh dunia mencatat 8,022 kematian akibat Covid-19 semalam dan Malaysia menyumbang 4.5% (360) daripada angka itu.

Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, lagi seram ialah 85 daripada 360 kematian dicatat semalam ialah ‘Bought In Dead’ (BID) atau meninggal dunia di luar hospital sebab tidak sempat menerima rawatan.

“Tanpa mengambil kira saiz penduduk, Malaysia terletak di tangga ketujuh paling tinggi kematian Covid-19 dalam dunia semalam.

“Dari segi saiz penduduk, Malaysia bukan lagi antara negara paling tinggi dalam dunia bagi kadar kematian Covid. Malah Malaysia ialah negara dengan kadar kematian Covid paling tinggi. Nombor satu,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Jelasnya lagi, ini merupakan data dan sains.

“Sudah tiba masa untuk kerajaan mengaku gagal.

“Ini kematian. Melibatkan nyawa Rakyat Malaysia. Satu tragedi yang amat besar sekali,” katanya.

Semalam, Malaysia merekodkan sejumlah 360 kematian akibat Covid-19 iaitu angka tertinggi sejak pandemik tersebut melanda negara tahun lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan menjadikan jumlah keseluruhan korban akibat virus berbahaya tersebut di negara ini ialah 10,749 orang.

Najib juga mempersoalkan pengumuman kerajaan berhubung kelonggaran membenarkan pengembara luar kuarantin kendiri di rumah di mana berapa ramaikah rakyat biasa yang akan mendapat manfaat.

“Bukan semua rakyat adalah ahli perniagaan, ahli politik atau pemegang pas MM2H yang keluar masuk negara sejak dua tahun lalu.

“Golongan-golongan ini tiada masalah untuk membayar kos kuarantin sendiri di pusat kerajaan atau hotel yang dipantau kerajaan. Kerajaan tak rugi apa-apa dengan terus memerlukan mereka kuarantin di sana dan bukan di rumah,” kata Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) itu lagi.

Najib turut  membangkitkan persoalan adakah langkah itu berbaloi berbanding risiko yang rakyat akan hadapi dengan penularan masuk varian Delta Plus dan varian Lambda yang dikatakan lebih kebal vaksin ke negara ini.

“Kenapa kerajaan PN (Perikatan Nasional) tak belajar dari kesilapan yang sama tahun lepas yang akhirnya cetuskan kluster Sivagangga dengan mutasi jenis D614G yang melanda negeri-negeri utara semenanjung dan menyebabkan gelombang COVID baharu seluruh negara (bukan hanya PRN Sabah). Sebab mereka yang telah divaksin penuh masih boleh dijangkit dan menjangkit,”  katanya.

“Pada ketika negara kita sudah paling teruk dalam dunia bagi Covid dan kita masih belum berjaya mengatasi varian Delta, adakah kita juga mahu lawan varian Delta Plus dan varian Lambda?” soalnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru