Thursday, September 23, 2021

Undi percaya: Adakah Muhyiddin selamat?

Mesti baca

Pengumuman Perdana Menteri bahawa kerajaan akan membawa usul percaya  bagi menentukan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri pada bulan depan, telah mencetuskan banyak perdebatan dan meningkatkan lagi suhu politik negara.  Banyak pihak, terutama pembangkang menyoal, mengapa harus dibawa ke bulan depan? Mengapa tidak disegerakan dan dikemukakan bulan ini juga?

   Sesungguhnya, politik sering membabitkan pertentangan duaan. Masing-masing pihak cuba membuktikan hujah dan naratif mereka betul dan hujah lawan lemah dan salah. Tentunya dengan menggunakan pelbagai justifikasi, alasan dan testimoni.

Yang mendesak agar usul itu disegerakan, memberi justifikasi, bagi mengelakkan ketidaktentuan dan ketidakstabilan politik daripada berlarutan. Jika dibiarkan keadaan sekarang, kata mereka, ini akan mengheret negara kepada situasi lebih meruncing khususnya membabitkan nyawa dan kesihatan, serta kelangsungan hidup rakyat.

Tindakan Tan Sri Muhyiddin  Yassin enggan menyegerakan usul undi percaya, bagi golongan penentang beliau ialah strategi pelengahan, sama seperti tindakan membabitkan pembatalan ordinan darurat yang dilewat-lewatkan sebelum ini.

Tegasnya, langkah itu diambil untuk melanjutkan hayat politiknya ketika ada pihak yang secara berseloroh, Presiden Bersatu itu, seperti kucing, sebenarnya mempunyai sembilan nyawa. Mungkinkah beliau berjaya dalam undi percaya kali ini atau Muhyiddin akan kecundang, sekali gus memungkinkan tumbangnya Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada 7 September nanti?

Ya, betul, ini merupakan isu segera, signifikan dan membabitkan kepentingan rakyat, maka ia perlu disegerakan.  Bagi golongan ini, kerajaan perlu memperlihatkan kesegeraan atau ‘urgency’ menangani isu ini secara tuntas dan muktamad, mentelahan ini membabitkan kedudukan dan legitimasi Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Kedudukan Muhyiddin mulai dipertikaikan selepas Ahli Parlimen Umno menarik sokongan terhadap beliau dan Kerajaan PN. Justeru, secara teori dan dari segi angka, beliau dan kerajaan pimpinannya telah tumbang.

Beberapa hari lalu, melalui siaran langsung di televisyen, selepas pertemuan dengan pihak istana, Muhyiddin menegaskan bahawa beliau masih mempunyai majoriti untuk menjadi Perdana Menteri, dan meneruskan pemerintahan PN. Jadi, tidak berbangkit isu peletakan jawatan.  Seyogia diingatkan, dakwaan dan hakikat bahawa beliau kehilangan sokongan majoriti belum menyebabkan secara automatik jawatannya terlucut.

Dari segi Perlembagaan Persekutuan, semua itu perlu dibuktikan di lantai Dewan Rakyat. Maksudnya, apa-apa sahaja dakwaan, kenyataan, termasuk melalui akuan bersumpah di luar Dewan Rakyat, adalah tidak bermakna walau sekuat mana pun lawan politiknya berteriak dan menjerit.

Justeru, tindakan pembangkang mengumpul dan menghantar akuan bersumpah untuk menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri sebenarnya bercanggah dengan perkenan dan keputusan dibuat Yang di-Pertuan Agong supaya isu ini diselesaikan di Parlimen.

Dalam keadaan sekarang, memang dari segi strategi politik, ini kesempatan dan waktu  terbaik untuk pembangkang  dan musuh politik Perdana Menteri mendesak dan mengasak beliau dan PN. Tidak syak, pembangkang cuba menangguk di air keruh dengan melemparkan pelbagai tuduhan dan dakwaan melalui  penggunaan teknik propaganda paling ampuh, name calling.

Muhyiddin dan kerajaannya dicap sebagai derhaka kepada raja, melanggar semangat dan prinsip demokrasi, tidak menepati sistem raja berperlembagaan, selain menyifatkan kerajaan PN sebagai kerajaan gagal.  Kita tidak seharusnya mudah terperangkap dan terjerat dalam permainan politik sedemikian. Kita perlu memahami secara mendalam agenda dan motif pembangkang berbuat demikian.

Adakah undi percaya atau tak percaya di Parlimen akan dapat menyelesaikan kemelut politik yang melanda negara secara tuntas dan muktamad? Adakah dengan perubahan kerajaan akan  selesai segala konflik dan ketidaktentuan politik yang kita hadapi kini? Atau benarkan  dalam tempoh sebulan ini akan berlaku fenomena lebih banyak katak politik yang akan melompat demi ganjaran dan habuan seperti diramal sesetengah pihak? Kalaupun ada pemimpin politik yang melompat ketika ini, sudah terang lagi bersuluh,  kita sudah tahu akan  faktor yang menggerakkan mereka berbuat demikian.

Ketika politik negara terus membara dan bergelora, dan rakyat terus sengsara dan menderita, imej pemimpin politik tidak begitu baik di mata rakyat. Imej dan reputasi mereka tercalar. Rakyat semakin kritis dan analitis, malah sinis terhadap sebahagian daripada pemimpin politik negara. Ya, masih adakah pemimpin politik yang memiliki integriti dan maruah? Atau mereka sanggup menggadaikan maruah dan integriti mereka demi kepentingan peribadi dan kuasa?

Ketika ini rakyat mendambakan pemimpin politik yang dilihat betul-betul komited, prihatin dan ikhlas  membantu rakyat.

Mungkinkan ketegangan politik akan mereda atau adegan drama politik sekarang akan berterusan selagi tidak dimuktamadkan melalui Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti? Terlalu naif dan simplistik untuk terjun ke kesimpulan mudah bahawa segala ketegangan, krisis dan ketidaktentuan politik akan berakhir dengan tersingkirnya Muhyiddin dari jawatannya atau tumbangnya PN sebagai kerajaan.

Harus diingat, pihak yang tersungkur akan cuba pula untuk menunjukkan bahawa apa-apa yang dilakukan oleh pemimpin baharu dan kerajaan yang menggantikan kedudukannya, adalah tidak betul.  Mereka akan cuba pula untuk menjatuhkan kerajaan yang naik. Ini merupakan permainan dan asam garam politik. Semua pihak mahu dilihat diri atau parti yang diwakilinya lebih pintar dan hebat daripada pihak atau parti lawan.

Sedangkan hakikatnya, tujuan dan agenda utama pihak-pihak terbabit adalah untuk mendapatkan kuasa.   Benarlah, apabila pemimpin politik berkelahi dan bergaduh, mereka akan merosakkan tanaman di ladang, namun apabila mereka berdamai, mereka akan memakan tanaman. Sebarang kecelaruan politik akan menjejaskan usaha  kerajaan menangani masalah yang dihadapi rakyat dan negara.

Selagi kepentingan kuasa dan ideologi politik mengatasi kepentingan rakyat dan negara, selagi itulah kita akan terus bergelut dengan kemelut yang mencengkam negara sejak sebelum PRU-14 lagi. Kita lebih banyak berpolitik daripada berusaha keras untuk tangani masalah yang membelenggu rakyat ketikai ni termasuk semakin banyak syarikat gulung tikar, peningkatan kadar pengangguran, pelaburan langsung asing yang kian menguncup, pengajaran-pembelajaran terjejas teruk dan peningkatan kes bunuh diri.

Buktinya, nilaikan sahaja kerenah dan tingkah laku sebahagian Ahli Parlimen dalam persidangan Dewan Rakyat Julai lalu. Adakah mereka lebih mengutamakan bagaimana untuk menangani isu membabitkan kesihatan. Covid-19, pendidikan pelajar, ekonomi dan kes bunuh diri yang semakin meningkat? Atau mereka dilihat lebih sibuk menonjolkan diri dan bertelagah tentang isu yang kadang-kadang remeh? Mereka mahu membuktikan siapa lebih kuat dan nyaring suaranya di depan rakyat?

Ingat, kita sedang bertarung dengan dua krisis utama — krisis kesihatan dan krisis ekonomi. Jadi, jangan burukkan dua krisis ini dengan krisis politik dan perlembagaan yang memungkinkan negara terjerumus ke dalam kancah masalah yang lebih teruk dan rumit.

Para pemimpin politik sekalian, tolong beri keutamaan kepada agenda kesejahteraan dan membantu meringankan penderitaan dan beban rakyat.

Jadi, kerajaan perlu tumpukan perhatian untuk melaksanakan Pelan Pemulihan Negara dan prakarsa menangani masalah pandemik dan vaksinasi bagi memungkinkan negara mencapai kekebalan kelompok. Ini bukan waktu untuk mengocakkan lagi keadaan politik kerana akhirnya rakyat akan menjadi  umpama pelanduk  tersepit di tengah-tengah dua ekor gajah yang bertarung.

Tidak sampai 24 bulan kita akan berdepan dengan PRU-15. Jadi, untuk sementara waktu, semua pihak perlu tangani masalah besar yang melanda negara: Kesihatan dan ekonomi. Ketepikan dulu usaha menghangatkan lagi politik yang sedia panas melalui gencatan politik bagi mengharmonikan dan mententeramkan keadaan dengan semua ahli politik, berlapang dada dan berjiwa besar.

Mereka perlu bekerjasama dan berganding bahu memilkul amanah yang diberi oleh rakyat. Lakukan gencatan politik. Jangan terus berperang dan bertelagah. Tolong selamatkan rakyat dan negara daripada terus terbeban dengan krisis politik, kesihatan dan ekonomi.

Dr Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara.

Secara Rawak

Artikel Terbaru