Sunday, December 5, 2021

135 NGO sokong Kerajaan PN kekal tadbir negara

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) bersama-sama gabungan 135 NGO Islam menyatakan pendirian dan solidariti sokongan bersama kepada perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengekalkan pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional sebagaimana pengumuman khas Perdana Menteri pada 4 Ogos 2021.

Kata NGO berkenaan dalam kenyataan bersama, pendirian dan sokongan tersebut berasaskan  perkara di bawah:

i) Menjunjung tinggi perkenan Yang di-Pertuan Agong atas kepercayaan Baginda bahawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin masih mempunyai majoriti untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri dan mengetuai pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional.

ii) Menyeru semua parti politik Melayu Islam bermuafakat dan mengutamakan kepentingan nyawa rakyat berdepan dengan pandemik Covid-19 dari kepentingan politik peribadi dan kumpulan.

iii) Kesal dengan segelintir Ahli Parlimen tertentu yang menarik sokongan kepada kerajaan semasa, sedangkan pembentukan kerajaan kini adalah persetujuan bersama oleh Ahli Parlimen Melayu Islam.

iv) Menyeru Ahli Parlimen Parti Melayu Islam kembali bersama kerajaan Perikatan Nasional demi agama, rakyat dan negara.

v) Menyeru rakyat Malaysia menyokong dan mempertahankan kerajaan semasa sebagaimana titah perkenan Yang di-Pertuan Agong yang dimaklumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

vi) Mendoakan Yang di-Pertuan Agong terus menaungi kerajaan, rakyat dan menstabilkan pemerintahan dan pentadbiran negara.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru