Sunday, September 19, 2021

Usia bukan penghalang ukir kejayaan dalam sukan

Mesti baca

KUCHING: Usia bukan penghalang untuk mana-mana atlet kebangsaan mengharumkan nama negeri dan negara di kejohanan peringkat antarabangsa.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, yang penting adalah semangat tinggi seorang atlet untuk berusaha melakukan yang terbaik dalam sukan yang diceburi.

“Sekiranya kita melihat ratu terjun negara Pandelela Rinong yang kini berusia 28 tahun. Mungkin ramai yang mengatakan usia itu terlalu tua untuk sukan berkenaan.

“Bagi saya, usia tidak penting. Sebagai contoh salah seorang atlet gimnastik yang berusia 46 tahun masih mampu bertanding dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Sekiranya, Pandelela dapat beraksi dalam sukan terjun ketika usia 40 tahun. Kita sentiasa menyokong beliau dalam sukan yang digemarinya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas Majlis Perjumpaan Bersama Atlet Pembangunan 2021 di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, semalam.

Tambah beliau, kementeriannya akan sentiasa menyokong Pandelela termasuk meneruskan perjuangannya ke Sukan Olimpik 2024 yang bakal diadakan di Paris.

Karim menyatakan keyakinannya bahawa meskipun Pandelela bersara dalam sukan terjun, mana-mana negeri atau negara pasti akan memerlukan perkhidmatannya untuk menjadi jurulatih.

Mengulas mengenai prestasi Pandelela di Sukan Olimpik Tokyo 2020, Karim menyatakan bahawa beliau telah berjaya ke peringkat akhir yang juga merupakan pencapaian yang besar.

Jelasnya, walaupun tidak memenangi sebarang pingat, Pandelela masih bersemangat tinggi untuk pergi ke Sukan Olimpik seterusnya.

“Jadi, inilah jenis semangat yang perlu ada pada atlet kita. Jangan pernah berputus asa tetapi teruskan perjuangan untuk perlawanan seterusnya,” ujarnya.

Pandelela, anak Sarawak berbangsa Bidayuh dari Bau menduduki tempat ke-12 dalam final platform 10 meter wanita di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Turut hadir Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Sukan, Nancy Jolhi dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak Dr Ong Kong Swee.

Secara Rawak

Artikel Terbaru