Monday, October 25, 2021

Hina Agong: Saya akui saya buat tindakan bodoh, kata suri rumah didenda RM9,000 

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah yang didenda RM9,000 kerana membuat dan memulakan komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong melalui laman sosial Facebook miliknya, menangis di Mahkamah Sesyen di sini hari ini sambil mengakui perbuatannya itu adalah bodoh.

Menurut Bernama, hakim M. M Edwin Paramjothy menjatuhi hukuman itu ke atas Rosmawati Mohd Zain, 46, selepas dia mengaku bersalah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menganiayai orang lain, melalui Facebook menggunakan nama profil ‘Rosmawati Mohd Zain’ pada 7.06 malam, 25 Mei lepas.

Hantaran itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, di sini, pada 1.06 tengah hari, 1 Jun lepas.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama, membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

“Mahkamah turut memerintahkan Rosmawati dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda. Dia membayar denda berkenaan,” lapor Bernama lagi.

Ketika rayuan, Rosmawati yang tidak diwakili peguam memohon denda ringan atas alasan dia insaf dan menyesal dengan perbuatannya serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

“Saya seorang suri rumah dan mempunyai empat anak. Saya terlalu emosi waktu itu. Saya menyesal dan berjanji tidak akan meluah perasaan melalui Facebook. Saya akui, saya buat tindakan bodoh,” rayunya sambil menangis teresak-esak.

Secara Rawak

Artikel Terbaru