Tuesday, September 21, 2021

Wanita licik tukar berlian RM24 juta dengan batu kerikil

Mesti baca

LONDON: Seorang wanita secara diam-diam menukar tujuh kerikil dengan berlian bernilai 4.2 juta pound (lebih RM24 juta) dijatuhkan hukuman penjara 5 setengah tahun kerana peranannya dalam kes kecurian yang didakwa paling berani di kedai perhiasan mewah di daerah Mayfair, London.

Lulu Lakatos, 60, terlibat dengan kumpulan antarabangsa yang melarikan diri ke Perancis setelah mencuri berlian dari Boodles di New Bond Street pada 10 Mac 2016.

Sehingga saat ini semua berlian tersebut masih belum ditemui.

“Ini perbuatan berani dilakukan di hadapan pekerja yang berpengalaman dan profesional di kedai perhiasan terkenal itu,” kata Detektif Sgt. William Man dari Metropolitan Police Service London.

“Perancangan dan pelaksanaan pencurian yang teliti ini menunjukkan mereka yang terlibat penjenayah berkemahiran tinggi.”

Selang beberapa hari sebelum pertukaran itu, Lakatos yang menyamar sebagai Anna, pakar berlian bersama-sama beberapa suspek lain mengadakan pertemuan dengan kakitangan Boodles.

Mereka memperkenal diri sebagai mewakili pelabur Rusia yang kaya yang ingin membeli berlian, kata polis.

“Anna” memeriksa berlian tersebut yang dibungkus secara individu dan diletakkan di dalam beg terkunci yang seharusnya disimpan di peti besi perhiasan sehingga pembayaran diterima.

Lakatos menggunakan kesempatan itu menukar beg berisi berlian dengan beg yang mirip tetapi mengandungi batu kerikil sebelum dikunci di dalam peti besi, menurut video kamera keselamatan yang dikeluarkan polis.

Keesokan harinya, apabila beg itu diperiksa menggunakan mesin imbasan, pekerja kedai mendapati berlian itu sudah ditukar dengan tujuh kerikil biasa.

Menurut AP, Lakatos ditahan menggunakan waran tangkap Eropah pada September tahun lalu dan kembali ke Britain untuk perbicaraan kesnya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru