Tuesday, September 21, 2021

Sambutan komuniti Penan untuk vaksin COVID-19 semakin baik

Mesti baca

LIMBANG: Sambutan komuniti Penan terhadap penerimaan vaksin COVID-19 mula menunjukkan kesan positif. 

Pengarah Kesihatan Bahagian Limbang Dr. Norliza Jusoh berkata, perubahan ini disebabkan mesej atau maklumat berkenaan kepentingan vaksin COVID-19 tidak sampai kepada mereka selain masalah komunikasi. 

“Pada mulanya sambutan adalah kurang memuaskan daripada komuniti Penan kerana mesej yang tidak sampai kepada mereka dan masalah komunikasi. 

“Namun, dari masa ke semasa, Pejabat Kesihatan Limbang menerima penambahan bilangan pendaftaran untuk divaksin daripada komuniti Penan. 

“Walaupun skala pendaftaran mereka tidak besar, namun terdapat perubahan sikap daripada tidak berminat untuk divaksin dan membuat keputusan untuk berdaftar sebagai penerima vaksin COVID-19,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Pusat Pemberian Vaksin Outreach, Pejabat Kesihatan Bahagian Limbang, RSC Long Rayeh baru-baru ini. 

PICK ini telah berjaya mencapai sasarannya iaitu 42 orang yang berdaftar telah berjaya mendapat suntikan vaksin COVID-19. 

Program ini turut dijayakan bersama beberapa agensi kerajaan seperti Pejabat Kesihatan Limbang, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pertanian, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dan sebagainya. 

Sementara itu, Ketua Komuniti Penan Kampung Long Rayeh Mawa Saging ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas usaha membuat program vaksinasi Komuniti Penan di Kampung Long Rayeh.

“Terima kasih kepada kerajaan yang datang kampung kami bagi menyediakan perkhidmatan suntikan vaksin COVID-19. 

“Saya merupakan orang pertama mendapatkan suntikan vaksin bagi memberi contoh kepada komuniti Penan bahawa vaksin ini selamat. 

“Adalah diharapkan penduduk Penan di Long Rayeh dapat mengikut jejak saya bahawa vaksin ini tidak memberi apa-apa kesan terhadap kesihatan,” katanya. 

Hadir sama Timbalan Residen Bahagian Limbang Sebi Abang, Ketua Penolong Pengarah Penempatan Semula & Hal Ehwal Penan, Unit Perancang Ekonomi Ezra Uda dan Pegawai Pertanian Bahagian Limbang Jakaria Rambli. 

SourceUJKAS

Secara Rawak

Artikel Terbaru