Thursday, September 23, 2021

Proklamasi Darurat: Gelagat pemimpin politik

Mesti baca

Teguran Yang di-Pertuan Agong pada Khamis menerusi kenyataan pihak Istana Negara perlu diambil sebagai iktibar oleh setiap pihak tentang pentingnya akur kepada doktrin pemisahan kuasa, sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

Di bawah doktrin pemisahan kuasa, eksekutif, legislatif dan kehakiman, mempunyai batasan sempadan kuasa masing-masing bagi mengelakkan salah guna kuasa sehingga memungkinkan kerajaan menjadi autokratik.

Pengasingan kuasa mengelak daripada kecenderungan untuk sesebuah kerajaan menjadi autokratik atau kuku besi sehingga menyebabkan berlaku kepincangan dalam sistem pemerintahan.

Pada Khamis, 29 Julai 2021, Istana Negara mendedahkan Agong belum memberikan perkenannya terhadap nasihat Kabinet bagi membatalkan ordinan darurat berkuat kuasa pada 21 Julai lalu selain keputusan untuk tidak melanjutkan darurat selepas dijadualkan tamat pada 1 Ogos 2021.

Kini, darurat hanya dilanjutkan di Sarawak hingga 2 Februari 2022 manakala di Semenanjung Malaysia, Labuan dan Sabah ditamatkan. Bukankah ini satu ironi ketika angka kes Covid-19 jauh lebih tinggi di luar Sarawak?

Seyogia diingatkan, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Parlimen bahawa kerajaan telah membatalkan semua ordinan darurat walhal ia belum lagi diperkenan Seri Paduka.

Adakah memang wujud elemen seperti kaduk naik junjung dalam kes ini seperti didakwa Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi?

Bagi rakyat pula, seperti Ahli Parlimen, mereka terkejut kerana pembatalan dilakukan dengan penuh rahsia dan diawalkan ke tarikh 21 Julai, sedangkan sepatutnya berakhir 1 Ogos 2021, tanpa perbahasan di Parlimen.

Apakah kuasa kabinet untuk membatalkan proklamasi dan ordinan berkenaan tanpa restu dan perkenaan baginda? Politik negara kini bagi kebanyakan rakyat, adalah diselubungi kekusutan dan kekeliruan, dan berada di ambang krisis perlembagaan. Mereka cuba memahami, apakah yang sebenarnya berlaku?

Apakah motif atau agenda Kabinet dan Perdana Menteri mengambil tindakan sedemikian — yang dianggap sebagai bercanggah dengan semangat perlembagaan dan pemisahan kuasa.

Sultan Abdullah turut amat dukacita kerana apa-apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Takiyuddin serta Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun bahawa cadangan pembatalan semua ordinan darurat dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan dirungkaikan telah tidak dilaksanakan.
Malah, Takiyuddin dilihat cuba mengelirukan Dewan Rakyat, suatu kesalahan yang serius dan boleh diambil tindakan di bawah Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan.

Sesungguhnya, kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara, malah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tidak hairanlah ada pihak cuba menangguk di air keruh dalam situasi sekarang dengan mendesak Muhyiddin supaya melepaskan jawatannya. Malah, ada yang menuduh Takiyuddin dan Muhyiddin melakukan penderhakaan. Jangan hairan, pembangkang akan terus lantang dan agresif pada minggu depan mendesak pengunduran Muhyiddin dan seluruh Kabinet.

Malah, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan pelbagai label negatif kepada pemimpin kerajaan, termasuk jahil, biadab dan jahil undang-undang. Sebabnya, mudah. Mereka mahu memanipulasikan dan mengekspoloitasikan kemelut politik dan perlembagaan sekarang untuk kepentingan politik mereka. Sudah terang lagi bersuluh, mereka mahu mengambil alih kuasa, kerana mereka fikir, mereka lebih layak memerintah negara ini. Tetapi kita semua tahu bagaimana prestasi mereka dalam tempoh 22 bulan memerintah.

Hakikatnya, ordinan darurat yang diisytiharkan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong seharusnya dibentangkan dan dibahaskan dalam sesi Dewan Rakyat, selagi mana Seri Paduka belum memperkenan untuk membatalkan ordinan berkenaan.

Harus diingat, sekiranya tidak dibahaskan, Perkara 150 Fasal 7 masih membolehkan ordinan darurat terbabit dilanjutkan sehingga enam bulan lagi selepas 1 Ogos 2021, tarikh sepatutnya ia tamat.

Sejak pengumuman Takiyuddin, yang mengejutkan banyak pihak itu, tercetus suasana hangat di Dewan Rakyat, sekali gus mendedahkan gelagat dan watak Ahli Parlimen daripada kedua-dua pihak — pembangkang dan kerajaan.

Sejak itu, Istana Negara telah mengeluarkan dua kenyataan media. Pertama untuk menjelaskan apa-apa yang sebenarnya berlaku, sebelum diikuti oleh kenyataan media oleh Jabatan Perdana Menteri.

Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan butiran pertemuan dan komunikasi melibatkan Kabinet dan Agong, menolak dakwaan pembatalan tersebut tidak mengikut prosedur undang-undang dan Perlembagaan. Ini kemudiannya sekali lagi diikuti oleh kenyataan media oleh pihak Istana negara.

Boleh kita katakan ini pertama kali kejadian sedemikian antara Istana dengan Perdana Menteri atau Pejabat Perdana Menteri dilakukan secara terbuka untuk tatapan umum.

Kenyataan media kedua oleh Istana Negara adalah sebagai tindak balas untuk menjelaskan dan membetulkan kenyataan Pejabat Perdana Menteri. Apakah implikasi dan kesan semua ini? Pihak Istana tentunya ingin membetulkan keadaan atau kekeliruan yang timbul, agar imej dan kedudukannya tidak terjejas di mata rakyat.

Soal perlembagaan, ordinan dan proklamasi darurat bukan boleh diambil mudah. Ia mempunyai implikasi mendalam terhadap pemerintahan sedia ada, undang-undang, perlembagaan, institusi diraja, landskap politik negara dan sistem raja berperlembagaan.

Semua pihak perlu menjunjung titah dan menghormati raja dan sistem raja berperlembagaan, serta prinsip pemisahan kuasa. Tidak harus ada percubaan untuk menegakkan benang yang basah. Kita perlu tahu bahawa Perkara 150(2B) jika dibaca dengan perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa penggubalan dan pembatalan ordinan-ordinan darurat adalah terletak pada Seri Paduka Baginda.

Kita dapat bayangkan apabila berlaku tindakan balas-membalas kenyataan dan pandangan antara dua pihak terbabit.

Kita sedang berdepan krisis kesihatan dan ekonomi, dan kita tidak harus memburukkan keadaan dengan dua lagi krisis — krisis politik dan krisis perlembagaan. Kita perlu tangani isu ini dengan berhati-hati, bak menarik rambut dari dalam tepung.

Ketika ini sepatutnya Dewan Rakyat menumpukan perhatian kepada prakarsa menangani isu Covid-19, vaksinasi, kesihatan dan ekonomi rakyat. Sebaliknya, kita semua tahu, apa yang sebenarnya telah terjadi.

Sesungguhnya, prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang perlu dipertahankan dan dijunjung. Mana-mana pihak tidak harus dipersepsi tidak menghormati dan tidak memuliakan institusi raja. Institusi Parlimen dan sistem raja berperlembagaan tidak harus tercalar dan tercemar oleh agenda politik.

Dr Jeniri Amir ialah Felo Kanan Majlis Profesor Negara.

Secara Rawak

Artikel Terbaru