Saturday, October 23, 2021

Lelaki mengamuk petugas sekatan jalan raya

Mesti baca

PADAWAN: Seorang lelaki berusia 30 tahun diberkas selepas bertindak mengamuk petugas Sekatan Jalan Raya (SJR) di Kampung Telaga Air sekitar jam 2.40 petang semalam.

Suspek ditangkap oleh anggota keselamatan yang bertugas di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan sebelum diserahkan kepada pasukan peronda polis IPD Padawan untuk tindakan lanjut.

Mengesahkan kejadian Superintendan Aidil Bolhassan berkata suspek dikatakan marah berikutan tidak dapat melepasi kawalan ketat yang dijalankan oleh pihak penguat kuasa di kawasan PKPD terbabit.

“Semasa kejadian pihak polis bersama amggota RELA dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) telah memujuk dan meminta supaya suspek balik ke rumah namun suspek enggan berbuat demikian.

“Suspek seterusnya bertindak mengacukan kayu panjang ke arah petugas keselamatan menyebabkan berlaku pergelutan di antara kedua-dua pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu jelasnya, suspek bagaimanapun berjaya ditangkap dan tidak mengalami sebarang kecederaan ketika tangkapan dilakukan.

Tambahnya suspek telah pun dibawa ke Balai Polis Siburan untuk tindakan lanjut.

Ujarnya kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Justeru Aidil dalam kenyataannya turut menyeru agar orang awam khususnya penduduk di kawasan PKPD untuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak penguat kuasa dan bersabar sementara PKPD dilaksanakan.

Tindakan tersebut jelasnya adalah demi kebaikan komuniti setempat dan kesejahteraan semua.

Secara Rawak

Artikel Terbaru