Tuesday, September 21, 2021

Di mana hala tuju Tabung Haji?

Mesti baca

Keputusan meletakkan Lembaga Tabung Haji (TH) di bawah pengawal selian Bank Negara Malaysia (BNM) telah menimbulkan reaksi bersemangat di kalangan umat Islam di sini, walaupun ada jaminan ia adalah penyelesaian sementara sehingga dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ) dibentangkan kepada kerajaan untuk tindakan selanjutnya.

Reaksi yang bersemangat itu tidaklah menghairankan. Ini kerana ketika TH ditubuhkan pada 1963, ia adalah satu-satunya institusi yang tidak terdapat di tempat lain di dunia termasuk negara-negara Islam. Sejak itu, ia telah menjadi model bagi beberapa negara Islam yang kemudiannya membangunkan institusi serupa.

Kerajaan telah menegaskan pembaikan dalam kawal seliaan TH adalah sejajar dengan hasratnya agar TH kembali ke mandat asalnya untuk menguruskan simpanan para pendeposit bagi tujuan menunaikan haji, selain simpanan untuk pelaburan.

“Skop kawal seliaan BNM saat ini, sementara menunggu RCI selesai, hanya difokuskan pada pengambilan deposit, serta pengurusan risiko dan kecairan, dengan kerangkanya berbeda dari seliaan umum yang dikenakan pada institusi perbankan lain,” kata Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan.

Kerajaan mempunyai alasan baik meletakkan TH di bawah pengawal seliaan BNM. Hakikatnya, apabila campur tangan kerajaan diperlukan bagi mengukuhkan sumber kewangan TH akibat kemerosotan ekonomi,  ini adalah alasan cukup baik bahawa TH yang menguruskan sejumlah RM82 bilion aset memerlukan perubahan besar pada cara ia beroperasi.

Lantaran itu, cadangan untuk meningkatkan pengurusan dan operasi TH akan melibatkan model dasar baru dan kajian semula pindaan terhadap Akta Tabung Haji 1995.

Ia tidak boleh lagi beroperasi di bawah struktur sekarang di mana para ahli politik yang duduk dalam lembaga pengarahnya  telah memainkan peranan penting dalam pengurusan dan panel pelaburannya yang menyebabkan keadaan sedih yang membawa kepada campur tangan kerajaan melalui rancangan pemulihan dan penyusunan semula.

Di bawah Kriteria Sesuai dan Betul (Fit and Proper) BNM, ahli politik tidak dibenarkan menjadi anggota lembaga pengarah dalam syarikat di bawah kawalan seliaannya. 

Dalam hal ini, lembaga pengarah perlu menyoal siasat dengan terperinci keputusan yang dibuat pengurusan dan panel pelaburan, dan bukannya mengambil alih peranan dan fungsi pengurusan dan panel pelaburan.

Penubuhan RCI yang diumumkan pada 14 Julai oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah kerana di bawah struktur sekarang terdapat isu-isu yang timbul dari audit yang dilakukan oleh lembaga pengarah.

Oleh itu, antara skop RCI adalah memfokuskan dapatan perunding mengenai isu-isu berkaitan dengan Tabung Haji dari tahun 2014 hingga 2020, tetapi tidak akan melibatkan Pelan Pemulihan dan Penyusunan Semula Tabung Haji.

Menurut timbalan perdana menteri, “RCI juga akan menentukan apakah ada unsur-unsur menyembunyikan kesalahan dan apakah maklumat mengelirukan telah diberikan” selain mengesyorkan tindakan sewajarnya diambil terhadap pihak-pihak yang terlibat secara langsung atau tidak dalam melakukan kesalahan, atau melanggar undang-undang.

“Suruhanjaya itu akan menyampaikan kepada kerajaan dapatan dan saranannya mengenai tindakan selanjutnya, jika perlu, dalam masa tiga bulan,” katanya.

Aset pengurusan bernilai RM82 bilion adalah jumlah besar yang akan memberi kesan buruk kepada ekonomi, terutamanya pasaran kewangan, jika tidak diuruskan dengan betul.

BNM mempunyai kepentingan dalam hal ini kerana di antara peranan dan fungsinya adalah untuk memastikan kestabilan sistem monetari dan kewangan, mengembang infrastruktur sistem kewangan dalam memajukan agenda kewangan inklusif, dan memberi nasihat mengenai dasar makroekonomi dan pengurusan hutang awam.

Deposit TH berjumlah RM82 bilion – tertinggi sejak penubuhannya pada 1963 – mewakili 10% keseluruhan deposit dalam industri perbankan Islam negara yang semestinya ditadbir dengan mekanisme semak dan imbang kerana simpanan tersebut ditempatkan di institusi perbankan Islam.

Oleh kerana kerajaan menjamin simpanan pendeposit di TH di bawah Seksyen 24 Akta Tabung Haji 1995, ia mempunyai kepentingan dan tanggungjawab lebih besar memastikan simpanan tersebut dikawal selia dengan lebih baik demi memastikan bakal jemaah dapat menunaikan haji, dan TH dapat terus menjana pendapatan dari pelaburan yang patuh syariah.

Kerajaan juga telah berjanji hak mutlak pengurusan dan operasi haji masih akan dilakukan oleh TH ketika berada di bawah kawal seliaan BNM.

Semua alasan di atas sudah lebih dari cukup untuk membolehkan TH berada di bawah kawal seliaan BNM kerana ia akan menghasilkan TH yang lebih kukuh, kesihatan kewangan dan masa depan yang lebih baik, terutama dalam dunia pasca Covid-19.

Tetapi mengapa ada hujah-hujah bersemangat yang tidak mahu TH diletakkan di bawah kawal seliaan BNM, terutama ketika kebanyakan hujah tersebut sudahpun dijawab oleh kerajaan dan TH sendiri?

Sekiranya kita menganalisis hujah-hujah ini, satu perkara yang dipersetujui bersama adalah  rayuan agar kerajaan meluangkan masa berunding dengan semua pihak berkepentingan sebelum membuat keputusan, dan juga untuk kerajaan menunggu hasil RCI dan saranannya sebelum melaksanakan gagasannya mengenai model dasar baru dan kajian semula pindaan Akta Tabung Haji yang diperlukan apabila TH dikawal selia oleh BNM.

Ini adalah keprihatinan yang wajar memandangkan peri perlunya untuk bersikap inklusif, lebih lebih lagi deposit tertinggi yang kini mencapai RM82 bilion adalah tanda jelas keyakinan masyarakat kepada amanah yang dipikul oleh TH.

Oleh itu, jika masa adalah isunya, kerajaan perlu mempercepat mesyuarat RCI dengan mendapatkan anggotanya, terma rujukan dan jadual perbincangannya diumumkan secepat mungkin. 

Kerajaan telah mengatakan pihaknya mengharapkan RCI untuk menyerahkan dapatannya mengenai tindakan selanjutnya, jika perlu, dalam tiga bulan. Tetapi tiga bulan boleh menjadi masa yang lama jika mesyuarat pertama RCI memerlukan masa yang lebih lama untuk menjadi kenyataan.

Sementara RCI sedang mengadakan perbincangannya, kerajaan harus melakukan perundingan dengan pihak berkepentingan TH untuk meyakinkan mereka di samping menilai saranan TH agar kajian komprehensif dilakukan oleh Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan Bank Negara mengenai model dasar baru dengan mengambil kira kapasiti yang ada termasuk aset, liabiliti, kepakaran sumber manusia dan lain-lain.

Jamari Mohtar adalah Pengarah, Media & Komunikasi di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

Secara Rawak

Artikel Terbaru