Tuesday, September 21, 2021

Surat Agong kepada PM bocor: Pemuda Pas gesa polis siasat

Mesti baca

Penyebaran surat yang didakwa sebagai surat KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada YAB Perdana Menteri bertarikh 29 Julai tempoh hari adalah suatu perkara yang amat serius dan menggugat kestabilan dan keharmonian negara.

Surat tersebut jika benar wujud tentunya merupakan surat rahsia dan terhad, yang sepatutnya hanya untuk dibaca oleh penerimanya sahaja iaitu YAB Perdana Menteri. Tindakan menyebarkan surat tersebut kepada umum, yang dimuat naik oleh sebahagian pimpinan Pembangkang adalah suatu perkara yang bercanggah dengan Akta Rahsia Rasmi. Sedangkan Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan media umum yang disiarkan melalui laman Facebook rasmi Istana Negara untuk bacaan awam. Oleh itu, penyebarannya adalah suatu tindakan tidak beretika.

Tindakan ini juga telah menimbulkan polemik dan kekecohan di kalangan masyarakat, serta menampakkan seolah berlakunya krisis di antara Istana dan Eksekutif. Sepatutnya ruang diberikan kepada kedua-dua pihak untuk menyelesaikan isu ini berlandaskan undang-undang dan kerangka Perlembagaan Persekutuan, bukan dimarakkan lagi pertembungan.

Dewan Pemuda PAS Malaysia memandang serius perkara ini dan menggesa siasatan polis dibuat bagi mengenalpasti punca kebocoran surat ini. Suatu laporan polis akan dibuat bagi menggesa siasatan dibuat, untuk melihat samada wujudnya unsur khianat dan sabotaj dari penyebaran surat tersebut. Dewan Pemuda PAS Malaysia turut mengarahkan semua Dewan Pemuda PAS Negeri dan Kawasan untuk membuat laporan polis tersebut.

Dalam tempoh pandemik, seharusnya semua pihak bersatu dan bersama menggembleng tenaga dalam memastikan penularan wabak dapat dikekang, bukan memarakkan api perpecahan dan pertelingkahan. Pemuda PAS mengecam sebarang usaha dan cubaan mewujudkan kekecohan dan ketidakstabilan politik dalam tempoh ini, semata demi memuaskan nafsu serakah politik. Pemuda PAS mengajak agar semua rakyat bersatu dan fokus kepada menyelesaikan isu permasalahan rakyat dalam tempoh ini.

YB AHMAD FADHLI SHAARI
TIMB KETUA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
AHLI PARLIMEN PASIR MAS

#PemudaPAS
#MemimpinNegara

Secara Rawak

Artikel Terbaru