Tuesday, September 21, 2021

Masalah banjir ketika air pasang di Matu bakal selesai

Mesti baca

MATU: Kerajaan Negeri Sarawak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM320,000 bagi membina benteng hakisan sungai di tepi SK Kebuaw sebagai usaha membendung masalah banjir yang sering menimpa kawasan itu setiap kali berlaku air pasang besar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Dato’ Murshid DiRaja Dr. Juanda Jaya menjelaskan peruntukan khas melalui Jabatan Hutan itu telah diluluskan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Katanya, pembinaan benteng sepanjang 250 meter itu penting untuk memastikan SK Kebuaw terjaga selain keselesaan para pelajar di sekolah berkenaan sentiasa terpelihara.

“Kita tahu isu hakisan sungai adalah fenomena alam semulajadi yang tidak dapat kita elakkan.

“Namun ikhtiar kita yang terbaik masa ini adalah membina benteng hakisan bagi memastikan fasiliti yang ada di sekolah ini sentiasa terpelihara,” katanya kepada UKAS semasa mengadakan lawatan kerja ke kawasan Kebuaw dan Sungai Ilas, Matu pada Sabtu.

Dalam lawatan itu, beliau turut meninjau projek pembinaan titian belian di Sungai Ilas dan menyaksikan serahan tapak projek PPRMS di Kampung Kebuaw.

Selain itu, beliau turut menyerahkan cek Projek Kecil Luar bandar (MRP) kepada sembilan penerima iaitu PIBG SK Kampung Kebuaw, PIBG SK Sg Ilas, JKKK Rumah Jarit, JKKK Rumah Lebong, JKKK Rumah Mission, JKKK Rumah Raya, JKKK Rumah Lang, JKKK Rumah Joseph Aus dan Jawatan Kuasa Bencana Daerah Matu.

Turut disampaikan baucer pakaian sekolah kepada SK. Kebuaw dan SK Sungai Ilas sumbangan Yayasan Sarawak.

Sementara itu, Guru Besar SK Kebuaw, Cikgu Mohd Hafiz Fatulllah amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Sarawak dan Dato’ Dr Juanda atas usaha membolehkan projek pembinaan benteng itu menjadi kenyataan.

Tuai Rumah Lang Belon turut berterima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Dato’ Dr Juanda atas bantuan yang diberikan. 

Secara Rawak

Artikel Terbaru