Thursday, December 9, 2021

Projek Jalan Marudi Mulu Fasa 1 mohon dipercepatkan

Secara Rawak

MARUDI: Projek Pembinaan Jalan Marudi Mulu Fasa 1 melalui Long Terawan Fasa 1 merupakan Projek Rakyat yang telah diumumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Mac 2019. 

Bagaimanapun, projek sepanjang 6.8 km yang menelan kos lebih kurang RM43 juta itu telah mengalami kelewatan dari jadual asal. 

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Dato Gerawat Gala berkata, kelewatan itu telah menjejaskan cadangan asal projek itu dan mahu kontraktor menyiapkan jalan ini mengikut tarikh baharu seperti yang ditetapkan. 

“Pihak kontraktor ada memohon diberikan lanjutan masa dan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah bersetuju memberikan tarikh baharu. 

“Kelewatan itu disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sebagainya. 

“Tarikh asal siap projek ialah September 2021 dan selepas dipersetujui dan diluluskan JKR tarikh baharu projek ini siap ialah pada 7 Februari 2022,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas mengadakan lawatan kerja ke Projek Rakyat Fasa 1 Pembinaan Jalan Marudi Mulu melalui Long Terawan Fasa 1 pada Khamis. 

Sehingga kini peratusan fizikal Projek Rakyat Pembinaan Jalan Marudi Mulu telah siap ialah 43.95 peratus. 

Terdahulu, Dato Gerawat Gala yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu telah diberikan taklimat oleh Jurutera Awam (JKR) Wilayah Sarawak Shahbuddin Abu Bakar berhubung progres pembinaan jalan tersebut. 

Hadir sama Pengerusi Majlis Daerah Marudi Kaunselor Edward Mendai, Ketua Masyarakat Iban Kawasan Marudi Pemanca Randie Ak Bundan, Ketua Masyarakat Iban Kawasan Puyut Nibong Penghulu Hillary Tawa dan Ahli Majlis Daerah Marudi Kaunselor Yanti Nyanggau.

SourceUKAS

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru