Thursday, September 23, 2021

Implikasi pelanjutan Darurat di Sarawak

Mesti baca

Dengan Sarawak terus berada dalam keadaan darurat hingga 2 Feb tahun depan, ini secara implikasi bermakna, Pilihan Raya Negeri tidak akan diadakan dalam tempoh enam bulan lagi kecualilah jika ordinan berkenaan dibatalkan sebelum tarikh tersebut.

Menurut Warta Kerajaan Persekutuan yang diterbitkan malam tadi, kerajaan menjelaskan lanjutan itu dibuat “untuk menghalang daripada terus merebaknya wabak Covid-19 jika pilihan raya diadakan”.

Ternyata, keadaan pandemik Covid-19 yang masih belum lagi terkawal menjadi faktor utama keputusan  untuk melanjutkan tempoh darurat dibuat.

Malaysia naik lagi satu tangga apabila kini berada di tangga ke-29 selepas merekodkan 1,095,486 kes. Jumlah kematian pula 8,859 kes.

Namun, di sebalik itu semua ironinya, darurat di kawasan lain ditamatkan ketika angka  harian berada di atas 15,000.

Darurat yang sedang berlangsung, meliputi Semenanjung dan Malaysia Timur, akan berakhir esok.  Maksudnya, hanya sarawak akan berada di bawah keadaan darurat manakala negeri-negeri lain sudah terlepas daripada keadaan tersebut.

Adakah ini bermakna, pilihan raya kecil akan dapat diadakan di kawasan terbabit, termasuk di di Batu Sapi?

PRN-12 Sarawak hanya akan boleh diadakan 60 hari selepas 2 Feb 2022  selari dengan kenyataan yang terkandung dalam warta berkenaan; “…pilihan raya umum ke Dewan Undangan Negeri (DUN) dikehendaki untuk diadakan dalam enam puluh hari dari 2 Ogos 2021 mengikut Fasal (4) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak.”

Pilihan raya negeri (PRN) sepatutnya diadakan pada 6 Jun tetapi ditangguhkan kerana darurat.

Dalam keadaan biasa, DUN sepatutnya dibubar untuk mengembalikan mandat serta hak demokrasi rakyat untuk memilih kerajaan melalui pilihan raya.

 Bagaimanapun, PRN Ke-12 tidak dapat diadakan ketika ini kerana negara di bawah darurat sehingga 1 Ogos 2021.

 Ketua Menteri  Datuk Patinggi Abang Johari Openg  Tun Openg sebelum ini berkata, ia boleh ditangguhkan sehingga situasi Covid-19 bertambah baik.

Pada tahun leas malah berkali-kali beliau berkata, PRN-12  boleh ditangguhkan jika berlakunya kecemasan tetapi ia bergantung keputusan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya. 

Abang Johari pada Disember 2020 mengakui pihaknya merancang PRN  diadakan tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, sebagai kerajaan yang prihatin dengan keselamatan rakyat ketika pandemik Covid-19 melanda, pihaknya menangguhkan proses demokrasi itu

Tegasnya, kepentingan dan keselamatan rakyat Sarawak sentiasa menjadi keutamaan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Kami sentiasa menetapkan langkah-langkah untuk memastikan keselamatan rakyat terjamin apabila negara dilanda wabak Covid-19,” katanya.

Pada 6 Jun, Speaker DUN Sarawak Mohd Asfia Awang Nassar berkata  DUN tidak akan dibubarkan, malah akan meneruskan penggalnya hingga darurat berakhir pada 1 Ogos 2021.

Kini, seluruh tumpuan harus diberi terhadap usaha untuk menangani isu Covid-19, dan mengetepikan sementara tentang isu pilihan raya.

Bagaimanapun, bukan mustahil jika ordinan darurat sarawak itu dibatalkan lebih awal jika jumlah kes di negeri ini dapat dikurangkan secara drastik.

Dengan itu, bermakna PRN-12 boleh diadakan lebih awal daripada 2 Februari 2022.

Secara Rawak

Artikel Terbaru