Tuesday, September 21, 2021

Tubuhkan Biasiswa Sukan Pandelela Rinong

Mesti baca

KUCHING: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menyambut baik cadangan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Masing mengenai biasiswa sukan yang dinamakan sempena nama ratu terjun negara, Pandelela Rinong Pamg.

Abdul Karim berkata, beliau melihat cadangan tersebut sebagai inisiatif yang baik dan bakal meneliti cadangan tersebut. Di samping itu katanya, Pandelela harus diberikan ruang untuk mempersiapkan diri untuk acara terjun 10 meter individu platform wanita. “Ketika ini, Pandelela harus diberikan ketenangan. Diharapkan beliau akan dapat menaiki podium untuk acara kegemarannya iaitu terjun 10 meter perseorangan,” ujarnya pada sidang media sempena Persidangan Isu Kesihatan Mental Belia Asia Tenggara di Bangunan Baitulmakmur 2, di sini pada Rabu.

Masing dalam kenyataan berkata, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak harus mengiktiraf kebolehan dan pencapaian Pandelela dalam mengharumkan nama negara di persada dunia untuk acara terjun.

“Saya berbangga dengan penduduk luar bandar. Jika diberi peluang, penduduk luar bandar Sarawak akan berjaya dalam apaapa jua yang mereka lakukan. “Inilah masanya untuk Putrajaya mengiktirafkan orang Sarawak sama hebat seperti Semenanjung Malaysia.

“Beri peluang dan kesempatan kepada mereka,” kata Masing dalam kenyataan itu. Pada Selasa lalu, gandingan Pandelela dan Leong Mun Yee sekadar meraih tempat kelapan untuk acara 10 meter platform seirama wanita Sukan Olimpik di Pusat Akuatik Tokyo.

Pandelela bakal terjun 10 meter individu platform wanita yang dijadualkan berlangsung pada 4 Ogos nanti.

Secara Rawak

Artikel Terbaru