Tuesday, September 21, 2021

Trienekens kekurangan tenaga kerja akibat penularan Covid-19

Mesti baca

KUCHING: Perkhidmatan pengumpulan sampah di seluruh Bandar Raya Kuching di bawah DBKU, MBKS dan MPP terjejas selama dua minggu ekoran daripada lebih 30 peratus kakitangan Trienekens (Sarawak) Sdn Bhd kekurangan tenaga kerja akibat penularan Covid-19.

Pengurus Jabatan Logistik & Perkhidmatan Trienekens, Mason Barau berkata, syarikat akan melakukan ‘Roll-on Roll-off’ (RoRo) di kawasan tertentu.

“Kita akan meletakkan beberapa kontena sampah di kawasan yang ditentukan untuk memudahkan pembuangan sampah daripada orang ramai.

“Walaupun perkhidmatan pengumpulan sampah mengalami kelewatan, kita akan berusaha mengatasi masalah ini secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Tambah beliau, bagi menyakinkan orang ramai bahawa perkhidmatan pengumpulan sampah akan pulih dalam masa dua hingga tiga minggu.

“Setelah kakitangan kami pulih daripada penyakit Covid-19 dan tamat tempoh kuarantin nanti, perkhidmatan kita akan ditingkatkan sepenuhnya.

“Orang ramai diminta supaya mengurangkan penghasilan sampah dan menggunakan kontena RoRo yang disediakan sebaik mungkin,” katanya lagi.

Jelasnya, Kontena RoRo akan disediakan di tempat awam bermula 30 Julai ini.

Antara kawasan yang disediakan bagi kawasan DBKU ialah Muara Tebas Bin Centre, Lorong Cahaya Aman 2, Taman Puteri, Taman Semariang Aman, Lorong C, Kampung Tunku, Jalan Temenggong Haji Gobil (bersebelahan Balai Bomba Petra Jaya) dan Lorong 6 Boulevard, Metro City

Manakala kawasan MPP pula di Lorong 7, Jalan Belatok, Taman Malihah.

Orang ramai boleh menghubungi Pegawai Pelanggan Trineken di talian 082-612300 (Isnin hingga Jumaat bermula jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang), atau emel ke customercare@trienekens.com.my atau melalui aplikasi Trienekens
Customer Care.

Secara Rawak

Artikel Terbaru