Saturday, October 23, 2021

Tangani stigma kesihatan mental

Mesti baca

KUCHING: Persidangan mengenai kesihatan mental belia Asia Tenggara akan diadakan di sini Sabtu ini. Persidangan tersebut dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan bersama Program Sosial Komuniti Masyarakat Bandar (Scopurs) Malaysia akan diadakan secara webinar.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, seramai 300 peserta dalam kalangan belia berusia 18 hingga 40 tahun dari pelbagai negara Asia Tenggara iaitu Malaysia, Filipina, Vietnam, Brunei dan Indonesia dijemput untuk menyertai persidangan ini.

Menurutnya, persidangan tersebut untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya perkhidmatan psikologi profesional dan psikiatri kepada belia. Ia juga katanya, untuk membantu para belia menangani masalah kesihatan mental dan menghilangkan stigma belia mengenai masalah kesihatan mental di rantau ini terutamanya melibatkan belia-belia Sarawak.

Abdul Karim mendedahkan, berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Tahun 2012 hingga 2017, terdapat peningkatan tingkah laku bunuh diri dalam kalangan belia berumur 13 hingga 17 tahun.

Jelasnya, kecenderungan idea ingin membunuh diri ialah 10 peratus tahun 2017 berbanding 7.9 peratus tahun 2012. “Kajian yang sama juga mendapati kecenderungan kemurungan ialah 18.3 peratus iaitu satu daripada lima belia mengalami gejala kemurungan, dua daripada lima belia mengalami kegelisahan dan satu daripada 10 belia mengalami tekanan.

“Manakala pada Januari sehingga Mei tahun ini, sejumlah 468 kes bunuh diri dilaporkan di seluruh negara,” tegasnya. Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Persidangan Kesihatan Mental Belia Asia Tenggara bertajuk Breaking the Mental Health Issues Stigma in Asean Amid Pandemic di Bangunan Baitulmakmur 2 di sini pada Rabu.

Abdul Karim memberitahu, kebanyakan individu yang terlibat dalam percubaan bunuh diri mempunyai beberapa faktor risiko yang mendorong tindakan tersebut. Antaranya mempunyai sejarah percubaan bunuh diri, kemurungan dan penyakit mental, penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang, sejarah bunuh diri dalam keluarga, sejarah penyakit kronik serta sering merasa keseorangan.

Sehubungan itu, Abdul Karim menjemput semua belia Malaysia mahupun Sarawak untuk menyertai persidangan yang masih dibuka untuk pendaftaran sehingga Jumaat (30 Julai).

Penyertaan juga dibuka kepada orang awam dan mereka yang berminat boleh menghubungi Sekretariat Kementerian di talian 082- 495555.

Persidangan tersebut akan disempurnakan oleh Abdul Karim serta Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia (KKM), Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Secara Rawak

Artikel Terbaru