BINTULU: Sebagai tanda sokongan terhadap usaha memerangi penularan wabak Covid-19 di bahagian Bintulu, Petronas Carigali Sdn Bhd-Sarawak Gas menyumbang tujuh unit komputer riba kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu(JPBBB).
Simbolik sumbangan disampaikan Pengurus Besar Kanan Petronas Carigali Sdn Bhd-Sarawak Gas, Peter Majid Tandom kepada pengerusi JPBBB merangkap Residen Bahagian Bintulu, Jack Aman Luat dengan disaksikan Pegawai Epidemiologi di Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu, Dr Azlan Arif Bolen.
Enam unit komputer riba akan diagihkan kepada Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu manakala satu unit lagi bagi kegunaan petugas di Pejabat Residen Bahagian Bintulu.
Sementara itu, mewakili Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu, Dr Azlan menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Petronas Carigali Sdn. Bhd Sarawak Gas kerana menyumbangkan komputer riba tersebut.
Menurut beliau, pihaknya amat memerlukan komputer riba bagi kelancaran program jangkauan vaksinasi bergerak dalam usaha mencapai 100 peratus vaksin untuk dos pertama suntikan.