Tuesday, September 21, 2021

Remaja perempuan di Kuching akui ejen judi

Mesti baca

PADAWAN: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun mengaku menjadi ejen judi dalam talian (JOL) ketika ditangkap di sebuah premis di Pusat Komersial Kuching City Mall, semalam.

Suspek didapati menjalankan aktiviti terbabit hasil serbuan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah IPD Padawan di lokasi sekitar jam 12.45 tengah hari.

Mengesahkan kejadian, Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata turut dirampas barangan kes daripada suspek berupa seunit telefon bimbit jenama VIVO dan wang tunai sebanyak RM40.

“Pasukan operasi Op Dadu Khas telah membuat serbuan ke atas sebuah kedai dan menahan seorang perempuan kerana disyaki menjalankan aktiviti perjudian atas talian.

“Suspek ketika disoal siasat mengaku bekerja sebagai penjual judi atas talian sebelum pasukan operasi bertindak merampas barangan kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dedahnya, semakan rekod polis mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah kesalahan lampau.

Sementara itu tambahnya, serbuan berasingan pada hari sama di sebuah premis kawasan Moyan Square turut berjaya menahan seorang lelaki di bawah kesalahan sama iaitu disyaki menjadi ejen penjualan JOL.

Serbuan sekitar jam 5.52 petang itu katanya, turut merampas seunit telefon bimbit jenama Huawei, wang tunai berjumlah RM134, dan sekeping kertas bertulis nombor angka-angka disyaki id dan kata laluan.

Ujarnya kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

Secara Rawak

Artikel Terbaru