Tuesday, September 21, 2021

Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat: Apa perbezaannya?

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Apakah perbezaan antara pembatalan Proklamasi Darurat dan pembatalan Ordinan Darurat?

Perkara ini dijelaskan penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz.

“Darurat itu memang komitmen kerajaan, tidak mahu menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk meneruskan darurat selepas 1 Ogos itu tiada masalah.

“Tetapi ordinan itu boleh beroperasi selepas masa darurat dalam masa enam bulan sekiranya tidak ditarik balik atau diungkaikan oleh Parlimen,” katanya.

“Jadi, pada saya, kepentingan undang-undang darurat itu haruslah dihargai oleh semua Ahli Dewan.

“Kalau mereka setuju nyatakan setuju, dan kalaupun tidak setuju nyatakan ketidaksetujuan itu dalam perbahasan di Parlimen,” ujarnya seperti dipetik Astro Awani.

Oleh itu, katanya, adalah penting supaya ordinan-ordinan tersebut dibentangkan dan diperbahaskan di Parlimen terlebih dahulu sebelum diputuskan sama ada mahu diteruskan atau tidak.

Bagaimanapun, jelasnya, ia tetap memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum sesuatu keputusan itu menjadi sah, berlandaskan apa yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Shamrahayu berkata, dengan membahaskannya di Parlimen, barulah rakyat yang melihat dan mendengar akan jelas tentang tahap sebenar komitmen Ahli-Ahli Dewan.

Ia dalam membuat keputusan terbaik sebagai solusi kepada krisis kesihatan dan ekonomi, khususnya yang melanda negara ketika ini.

“Dari segi undang-undang begitulah, kita sebagai rakyat pun yakin (dengan keputusan yang dibuat) sebab ia telah dibahaskan oleh kesemua Ahli yang kita pilih melalui demokrasi,” katanya.

Beliau juga mengingatkan bahawa amalan demokrasi itu perlu kembali kepada dasar Perlembagaan Persekutuan, menghormati peranan Raja Berperlembagaan sebagai Ketua Negara.

Menurutnya, kita dan khususya mereka yang berada di dalam sistem eksekutif, perlu memahami bahawa Raja Berperlembagaan tidak hanya menerima nasihat daripada kerajaan tetapi juga berkuasa untuk memberi nasihat dan kata putus di peringkat negeri mahupun persekutuan.

“Ini adalah sebenarnya prinsip-prinsip yang ada disebut dalam dokumen sejarah. Laporan Suruhanjaya Reid menyebut pada perenggan 58 tentang peranan Raja Berperlembagaan.

“Walaupun diakui pada akhirnya sememangnya Raja Berperlembagaan itu mengikut nasihat, tetapi bukanlah nasihat yang tidak diikuti atau dipatuhi dengan peraturan-peraturan di bawah kedaulatan undang-undang,” ujarnya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru