Tuesday, September 21, 2021

Umno minta Muhyiddin, Takiyuddin letak jawatan

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Umno akan meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan  Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk meletakkan jawatan secara terhormat.

Menurut beliau, Ahli-Ahli Parlimen Umno mesti menzahirkan dan melaksanakan keputusan Majlis Kerja Tertinggi Umno pada 7 Julai lalu.

“Keputusan ini bagi memenuhi sumpah jawatan selaku Ahli Parlimen yang wajib menumpahkan taat setia kepada Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong dan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan pada setiap masa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Pendirian ini juga seiring dengan asas dan matlamat penubuhan UMNO untuk sentiasa memelihara dan membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan Umno,” katanya lagi.

Kata beliau, Umno amat kesal dengan tindakan kerajaan pimpinan Muhyiddin yang mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu semua Ordinan Darurat dibahaskan dan diungkaikan di Parlimen seiring dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Lebih mendukacitakan apabila Tuanku sendiri mendedahkan bahawa pembatalan Ordinan-ordinan Darurat sebagaimana yang diumumkan Menteri Undang-Undang pada Isnin lalu di Parlimen amat mengelirukan, kerana hakikatnya belum lagi mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong,” tegasnya.

Malah, tindakan itu jelas beliau,  bukan sahaja penderhakaan kepada Yang di-Pertuan Agong, bahkan membelakangi prinsip Perlembagaan Persekutuan.

Secara Rawak

Artikel Terbaru