Wednesday, September 22, 2021

Berhati-hati melalui jambatan ini..

Mesti baca

SERIAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup, Martin Ben memulakan lawatan kerjanya pada Rabu ke Kampung Pulau Piranuk bagi melihat keadaan jambatan kayu yang menyeberangi Sungai Nyanuh.

Jambatan berukuran 16.5 meter panjang dan 3 meter lebar yang dibina pada tahun 2006 tersebut didapati kebanyakkan bahagian atau strukturnya telah rosak.

Oleh itu, Martin menasihati penduduk yang bercucuk tanam dan mengeluarkan hasil keluaran terutama buah kelapa sawit apabila melalui jambatan tersebut untuk lebih berhati-hati dan menghadkan muatan kenderaan bagi mengelak berlaku kerosakan yang lebih teruk sehingga melibatkan kemalangan kepada harta dan nyawa.

Katanya, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Serian akan mengeluarkan keputusan penilaian jambatan tersebut.

Sejurus selepas itu, beliau meneruskan lawatannya ke Kampung Mayang Kawan bagi melihat tapak untuk membina Pengkalan Mandi di tebing Sungai Nyanuh kampung tersebut.

Beliau turut dimaklumkan mengenai cadangan untuk penghadang air atau empangan mini merentas sungai tersebut dibina, sebagai tarikan dan tumpuan pengunjung yang datang.

Oleh yang demikian, Martin menghendaki satu kertas kerja disediakan untuk penelitian dan tindakan beliau selanjutnya.

Turut serta mengiringi beliau, Temenggong Bidayuh Bahagian Serian,Henry Bujang Sendan, Ketua Kampung Pulau Piranuk,Peter Janjen, Ketua Kampung Mayang Kawan dan Peter Nanggi Salleh.

SourceUKAS

Secara Rawak

Artikel Terbaru