Tuesday, September 21, 2021

Batalkan Ordinan Darurat: Wujud elemen kaduk naik junjung

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tidak perlu tunggu hari Isnin untuk dapat penjelasan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sama ada pembatalan Ordinan Darurat sebelum Parlimen bersidang telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Ini kerana menurut beliau, Yang di-Pertuan Agong sendiri melalui satu kenyataan disiarkan oleh Istana Negara hari ini mengesahkan baginda tidak tahu menahu mengenai tindakan pembatalan oleh kerajaan PN tersebut.

“Maka sudah terang lagi bersuluh wujud elemen ‘seperti kaduk naik junjung’ oleh mereka yang sedang menjalankan kuasa eksekutif Persekutuan ketika ini,” katanya dalam kenyataan melalui laman Facebooknya, hari ini.

Katanya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), ada empat perkara utama dalam titah Baginda berhubung perkara tersebut hari ini iaitu:

Pertama Yang di-Pertuan Agong berasa amat dukacita bahawa kerajaan PN telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang dimasyurkan Baginda walhal pembatalan belum lagi diperkenan Baginda.

Kedua Yang di-Pertuan Agong dukacita kerana yang dipersetujui dan diperkenankan Baginda semasa Menteri PN dan Peguam Negara mengadap baginda secara maya (online) pada 24 Julai lalu tidak dilaksanakan.

Iaitu pembatalan semua Ordinan Darurat mesti dibentang dan dibahaskan di Parlimen terlebih dahulu bagi tujuan diungkaikan.

Ketiga Yang di-Pertuan Agong bertitah kenyataan yang dibuat Menteri kerajaan PN di Parlimen pada 26 Julai lalu tidak tepat dan telah mengelirukan anggota Dewan Rakyat.

Keempat Yang di-Pertuan Agong bertitah tindakan membatalkan Ordinan Darurat tanpa pembentangan di Parlimen gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang malah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda.

Maka tegas Ahmad Zahid, kesimpulannya kerajaan PN dilihat telah melakukan penderhakaan yang cukup besar ke atas rakyat, Yang di-Pertuan Agong dan institusi diraja.

“Kita tidak pasti mengapa kerajaan PN sanggup melanggar keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang ke tahap itu.

“Namun timbul desas desus kerajaan PN mahu mengelak Ordinan Darurat daripada diungkaikan di Dewan Rakyat. Seolah-olah ada sesuatu cuba diselindungi,” katanya.

Katanya, apapun ini antara sebab dikatakan kerajaan PN gagal.

“Gagal menjaga rakyat dan negara daripada kesan buruk pandemik. Gagal menjunjung kedaulatan undang-undang dan institusi raja-raja.

“Dan sebab itu UMNO sebelum ini memutuskan menarik balik sokongan kepada ketua kerajaan PN dan menuntut Perdana Menteri digantikan oleh individu lain yang lebih berkemampuan,” katanya lagi.

Terdahulu, dalam satu kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan di Parlimen Isnin lepas bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat walhal ia belum lagi diperkenan Baginda.

 

 

Secara Rawak

Artikel Terbaru