Sunday, September 19, 2021

Parlimen gagal bincang isu, rakyat amat kecewa

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Perbahasan sebahagian ahli Parlimen gagal menjadi medan membincangkan soal kebajikan dan kesejahteraan rakyat sebagaimana yang diharap, kata Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa.

Menurutnya, Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri juga gagal dibahaskan dengan baik dengan cadangan yang bernas, berkesan dan menyeluruh.

“Sedangkan dahulunya, sebahagian daripada Ahli Parlimen tertentu telah bersungguh-sungguh mendesak kerajaan untuk mengadakan sidang Parlimen bagi tujuan membahaskan soal kepentingan dan kebajikan rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan seperti dipetik HarakahDaily.

Malangnya, kata beliau apa yang diperlihatkan kepada rakyat adalah sebaliknya, mereka gelojoh membahaskan soal perebutan kuasa.

Tambahnya, akhlak yang dipertontonkan amat memalukan rakyat, sehingga tiada hormat, sopan santun dan sangat memualkan serta ada yang tidak beradab sehingga tidak menghormati bacaan al-Fatihah yang dianjurkan oleh Perdana Menteri bagi dihadiahkan kepada mangsa yang meninggal akibat Covid-19.

Menurutnya, mereka berbahas hanya soal kepentingan kuasa sahaja, soal kepentingan rakyat diketepikan.

Katanya lagi, tiada cadangan dan inisiatif baru yang dikemukakan kepada Parlimen untuk dibahaskan sepertimana yang dijanjikan kepada rakyat.

Beliau menambah, banyak masa dibazirkan kepada soal menegakkan hak masing-masing yang tidak berkaitan soal kebajikan rakyat.

“Apakah sebenarnya motif yang selama ini Parlimen perlu bersidang? Sedangkan apa yang berlaku semalam memperlihatkan kerakusan Ahli Parlimen tertentu bertindak di luar batasan hanya untuk kepentingan diri dan kelompok tertentu sahaja.

“Sesungguhnya rakyat sangat kecewa!” ujarnya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru