Tuesday, September 21, 2021

Orang Ulu digesa jadikan Sarawak pengeksport makanan utama

Mesti baca

KUCHING: Kawasan tangga tinggi dan pedalaman yang didiami Orang Ulu mempunyai tanah dan persekitaran yang kondusif untuk pengeluaran makanan.

Justeru, menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Orang Ulu yang terkenal dengan kegigihan mereka, perlu memanfaatkan teknologi pertanian tepat di kawasan mereka bagi   menyokong misi Sarawak menjadi pengeksport makanan.

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, untuk itu, komuniti Orang Ulu perlu memanfaatkan teknologi terkini termauk Internet bendaan (IoT) dan Internet Segalanya yang dapat membantu untuk meningkatkan pengeluaran dalam memenuhi keperluan makanan.

“Untuk berjaya dalam teknologi makanan, sudah tentu kemudahan jaringan telekomunikasi sangat penting,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis pelancaran Dewan Perdagangan dan Industri Orang Ulu (OUCCI) di sebuah hotel di sini, semalam.

Jelas Abang Johari, Sarawak mempunyai dasar mentransformasikan prasarana digital sejak 2018 hingga 2022.

“Melalui kemudahan sedia ada, Orang Ulu dapat memanfaatkan peluang dalam sektor pertanian,” katanya, sambil menekankan masyarakat terbabit juga perlu menerokai dan memanfaatkan peluang dalam sektor pelancongan.

Dalam hubungan ini, beliau berkata OUCCI dapat dijadikan sebagai wadah Orang Ulu untuk mengenal pasti pelbagai sektor untuk bergerak sehaluan bagi mencapai pembangunan ekonomi menjelang 2030.

Beliau juga menekankan jaringan infrastruktur di pedalaman dan tanah tinggi khususnya di utara negeri ini perlu dinaik taraf bagi membangunkan ekonomi Sarawak.

Secara Rawak

Artikel Terbaru