Tuesday, September 21, 2021

Perluaskan kemampuan pakar tangani wabak

Mesti baca

KUCHING: Penubuhan Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) diyakini menjadi pemangkin kepada pembangunan industri bioperubatan di Sarawak, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, SIDC merupakan inisiatif tepat oleh Kerajaan Sarawak untuk mula mengembangkan kemampuan dan kepakaran khususnya ketika menghadapi wabak Covid-19.

“Terdapat banyak cabaran dalam dua tahun kebelakangan ini terutamanya bagi mendapatkan bekalan perubatan seperti set pakaian pelindung diri (PPE) dan vaksin,” katanya pada pelancaran Majlis Penyelidikan dan Pembangunan (SRDC) dan SIDC di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Seri Michael Manyin Jawong dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Pengurus Besar SRDC Dr Peter Morin Nissom. Menjelas lanjut, Abang Johari yang juga Pengerusi SRDC berkata, SIDC diluluskan oleh Kabinet Sarawak pada Februari lalu merupakan kemudahan penyelidikan di bawah bidang kuasa SRDC.

Katanya, matlamat pusat itu untuk melindungi Sarawak dengan meningkatkan penyelidikan dalam penyakit berjangkit, melengkapkan Sarawak dengan kemampuan untuk menguji ubat, vaksin dan peralatan terhadap agen berjangkit.

Pada masa sama beliau berkata, ia bagi membolehkan Sarawak mengesan, mendiagnosis dan meramalkan kemungkinan wabak penyakit berjangkit pada masa depan.

“Pusat ini akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dalam menangani penyakit berjangkit di Sarawak,” katanya.

Abang Johari menambah, pusat bernilai RM200 juta itu dilengkapi dengan makmal Tahap Keselamatan Bio 3 (BSL-3) untuk membolehkan penyelidikan dan pengembangan agen berjangkit BSL-3 seterusnya ujian produk untuk pengkomersialan keluaran penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Selain itu, kata Ketua Menteri, ia juga akan memberi peluang kepada rakyat Sarawak untuk berkhidmat dan memacu pembangunan modal insan dalam sains bioperubatan.

“Kemudahan penyelidikan yang akan menyatukan bakat di peringkat serantau dan antarabangsa termasuk menarik syarikat bioperubatan global untuk memastikan Sarawak bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru