Tuesday, September 21, 2021

Lanjutkan Darurat atau adakan PRN-12 Sarawak?

Mesti baca

Satu kejutan berlaku di Dewan Rakyat semalam di sehingga kemudiannya mencetuskan kekecohan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan kerajaan telah membatalkan enam Ordinan Darurat yang berkuat kuasa pada 21 Julai tanpa dibawa ke Parlimen sesuai dengan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Darurat sepatutnya berakhir pada 1 Ogos, tetapi ternyata, 32.7 juta penduduk negara ini bagai terkejut apabila, hanya diberitahu bahawa ia telah pun dibatalkan oleh Kabinet pada 21 Julai lalu.

Sedangkan sepatutnya, pembatalan berkenaan, menurut  Perlembagaan Persekutuan seharusnya dilakukan melalui Parlimen.

Ironinya,  pembatalan itu masih belum diwartakan dalam Warta Persekutuan.

Hakikatnya, pembatalan Ordinan Darurat itu sendiri mencetuskan kontroversi kerana tidak dibuat melalui Parlimen.

Malah, ada yang bertanya, adakah Yang di-Pertuan Agong dimaklumkan atau memberi perkenan tentang pembatalan itu? Adakah Kabinet berhak membatalkan ordinan berkenaan? Dan, mengapa menteri kabinet berdiam diri, terutama dari Umno? 

Adakah Kerajaan Sarawak dimaklumkan mengenai pembatalan ordinan berkenaan? ,

Yang lebih penting lagi,  adakah negeri ini sudah bersedia mengadakan pilihan raya negeri di tengah-tengak pandemik Covid-19.

Jumlah kes di Sarawak hingga semalam ialah  74,342 dengan 457 kematian. Angka itu pastinya akan terus bertambah meskipun angka harian agak terkawal dalam minggu terakhir.

Adakah kemungkinan  darurat  bakal dilanjutkan di Sarawak untuk menangguhkan pilihan raya negeri demi mengelakkan PRN yang memang diperlukan dari segi undang-undang dan perlembagaan?

Bagi pembangkang ia merupakan satu  helah atau langkah yang didakwa pembangkang bertujuan mengelakkan undi di parlimen  susulan ketidakpastian terhadap majoriti yang dimiliki kerajaan Perikatan Nasional.

Bagi Sarawak terutamanya, pembatalan proklamasi Darurat berkenaan mempunyai implikasi dari segi politik dan pilihan raya.

Seyogia diingat, tempoh lima tahun Dewan Undangan Negeri Sarawak berakhir pada 7 Jun lalu.

Maksudnya,  selepas  tarikh berkenaan pilihan raya negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari. 

Implikasinya, dengan pembatalan Ordinan Darurat,  pilihan raya Sarawak perlu diadakan selewat-lewatnya pada 19 September.

Nakun, disebabkan proklamasi Darurat yang dibuat bagi menangani kes Covid-19 yang kian menggila, maka pilihan raya tidak boleh diadakan. Namun, Darurat berkenaan tetap gagal menyekat dan membendung ancaman Covid-19, malah angkanya terus melonjak tinggi, mencecah lebih 17,000.

Dengan itu,  pilihan raya negeri Sarawak kelihatannya tidak dapat dielakkan. Mahu tidak mahu, menurut undang-undang dan perlembagaan, PRN-12 Sarawak hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tamatnya Darurat. 

Secara Rawak

Artikel Terbaru