Saturday, October 23, 2021

Tambah baik vaksinasi: Parlimen medan terbaik

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Sidang Parlimen ialah medan terbaik untuk melibat urus semua Ahli Parlimen yang mempunyai peluang dan akses untuk membantu menambah baik operasi di Pusat Pemberian Vaksin  (PPV) dan meningkatkan kadar pendaftaran vaksinasi, kata Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan.

Tidak boleh dinafikan, akuinya, pencapaian Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) semakin maju dengan komunikasinya yang baik malah bulan ini sahaja telah melepasi beberapa sasaran.

“Kita sedia maklum di beberapa negeri kadar pendaftaran masih rendah. Sabah 38.4%. Kelantan 60%. Terengganu 74.2% Kedah 75.5%,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.

“Kerjasama Kerajaan Pusat dan Negeri adalah kritikal ke arah penambahbaikan. Tidak kurang juga peranan Ahli-ahli Parlimen di kawasan-kawasan tertentu,” tegasnya.

Misalnya, kata beliau,  Operasi Lonjakan Kapasiti di Selangor dan Wilayah Persekutuan yang menunjukkan angka vaksinasi meningkat mendadak. Contoh lain, PPV bergerak di Lipis (antara paling awal di Malaysia) yang mampu menjadi “template” lebih sesuai untuk kawasan-kawasan luar bandar.

“Bolehkah contoh-contoh ini direplikasi di negeri-negeri lain sesegera mungkin dengan kerjasama Kerajaan negeri dan Ahli-ahli Parlimen, sekali gus dijadikan contoh bagaimana merentasi perbezaan politik kepartian untuk mencapai dan melepasi ssaran PICK secepat mungkin?,” kata beliau.

Kata  Shahril, Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bermula hari ini tidak memenuhi harapan untuk suatu persidangan lengkap dan pelbagai komentar menyifatkannya mirip kepada sesi taklimat.

Namun menurut beliau, itu tidak bermaksud ia perlu dibiarkan begitu sahaja.

“Natijahnya, dalam situasi segala kelemahan cabang eksekutif, sidang khas Parlimen esok mula mengembalikan peranan legislatif, walaupun terhad.

“Fokus rakyat dan negara tentunya masih tertumpu kepada pengurusan pandemik, dan beransur beralih ke pemikiran bagaimana hidup bersama pandemik,” katanya lagi.

“Dalam hal ini, baik dari sudut ekonomi atau kesihatan, prosedur dan tindakan kerajaan telah banyak dikritik dengan begitu hebat sekali, maka, berilah peluang kepada wakil rakyat yang menang dipilih oleh rakyat untuk jalankan tugas mereka menyumbang kepada pembetulan dan penambahbaikan,” ujarnya.

Secara Rawak

Artikel Terbaru